Mohamed Haniff seharusnya berkhidmat untuk parti, bukan satu individu
SHAH ALAM - Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla seharusnya berkhidmat untuk keseluruhan parti, bukan melayani satu individu sahaja.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengakui beranggapan Mohamed Haniff bertindak sebagai peguam peribadi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukan sebagai peguam rasmi Pakatan Harapan (PH).
“Saya selalu menganggap Mohamed Haniff bertindak sebagai peguam peribadi Dr Mahathir. Saya tidak pernah menyedari sebaliknya.
“Sekiranya dia adalah peguam rasmi parti, dia akan bertindak mengikut arahan Majlis Tertinggi parti dan melayani semua pihak, bukan melayani satu individu sahaja,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Khamis, media melaporkan Mohamed Haniff meminta bayaran guaman sebanyak RM12.5 juta daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tuntutan itu juga dibuat kepada anggota parti iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri yang memegang jawatan bendahari.
Bagaimanapun, Wan Saiful berkata, pihaknya akan meneliti tuduhan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya harus menambah bahawa baru sekarang saya tahu berapa caj Mohamed Haniff.
“Melihat harganya, dia pasti berada dalam kategori yang berbeza,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!