Ibu tunggal tabah menjaga anak OKU
JOHOR BAHRU - Dianugerahkan anak berstatus orang kelainan upaya (OKU) bukan sesuatu yang memalukan atau beban kepada ibu tunggal, Noridah Bachok, 32, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama di sini.
Noridah menatang anak tunggalnya, Nur Dini Umairah Abdullah, 13, yang cacat pendengaran dan pertuturan sejak lahir selain mengalami kecacatan mental seperti minyak yang penuh.
Menurut Noridah, anaknya yang mesra dipanggil Dini juga mempunyai masalah injap jantung ketika berusia lima bulan. Bagaimanapun, masalah itu berjaya diatasi selepas Dini menjalani pembedahan.
"Nasib Dini umpama jatuh ditimpa tangga apabila disahkan mengalami kecacatan pada mata kiri pada Jun lalu manakala retina pada mata kanannya mengecut.
"Sebelum ini saya tidak sangka warna mata kirinya yang putih sepenuhnya adalah simptom kerosakan saraf mata. Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan fungsi mata tersebut sudah pun terjejas," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.
Dia memberitahu, doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) merujuk Dini ke sebuah pusat perubatan swasta di Bangsar, Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan mata pada 1 Julai lalu bagi mencegah mata kanannya menjadi buta.
"Alhamdullilah, kos pembedahan sejumlah RM16,000 ditanggung oleh doktor yang melakukan pembedahan berkenaan kerana menyedari kami tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu.
"Luka di mata kanan Dini dijangka pulih dalam tempoh antara empat hingga lima bulan namun doktor tidak memberi jaminan sama ada daya penglihatannya akan pulih sepenuhnya," ujar Noridah.
Menurutnya, semua urusan Dini seperti bergerak, makan, minum susu mahupun ke tandas perlu dipantau. Begitu juga dengan ubat-ubatan. Dini memerlukan tiga jenis ubat titis mata setiap dua jam, lapan jam dan 12 jam sekali.
Bagaimanapun, dia yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kafe di sebuah pelabuhan di Gelang Patah, Iskandar Puteri dekat sini terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja pada 26 Jun lalu.
Keputusan itu ujarnya, bertujuan untuk memberikan sepenuh tumpuan terhadap Dini kerana ibunya berusia 60-an yang menjaga Dini sebelum ini sudah tidak berdaya atas faktor usia.
Menurut Noridah, dia yang memperoleh RM2,000 sebulan semasa bekerja sebelum ini, kini membantu kakaknya berniaga makan tengah hari dengan pendapatan harian sebanyak RM50.
"Setiap bulan saya memerlukan kos kira-kira RM1,000 untuk membeli susu dan lampin pakai buang Dini tidak termasuk bayaran sewa rumah RM250, bil utiliti RM100 dan perbelanjaan dapur RM300," katanya yang belum berhasrat berkahwin semula.
Kepada mereka yang ingin membantu, boleh menghubungi Noridah di talian 011-2325 4184 atau menerusi akaun banknya (RHB), 15106700-12-6291.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!