Kerja 'overhaul' pantau kilang sawit terbakar
NIBONG TEBAL- Pasukan bomba menjangkakan mengambil masa sehingga pagi esok bagi memantau dan menjalankan 'overhaul' di kilang penyimpanan minyak sawit di Sungai Jawi yang terbakar pada tengah malam Rabu.
Ketua Balai Bomba Nibong Tebal, Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir berkata, sehingga kini, pihaknya masih menjalankan kerja-kerja pemantauan di lokasi kejadian untuk memastikan tiada kebakaran baharu.
Menurutnya, lapan jentera bomba berada di lokasi kejadian untuk kerja 'overhaul' dan keadaannya adalah terkawal.
"Kawasan ini adalah kilang penyimpanan minyak sawit yang mempunyai hampas kelapa (sekam). Jadi atas faktor ini, kita perlu memantau dengan lebih ketat untuk memastikan tiada bara api pada sekam yang boleh menyebabkan kebakaran baharu berlaku.
"Faktor keluasan kawasan kebakaran dan angin kuat boleh menyebabkan berlaku kebakaran lain jika tidak dikawal dengan baik. Ini yang kita bimbang, namun pemantauan akan dijalankan dengan ketat bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, faktor tekanan air yang rendah turut menyebabkan kerja-kerja 'overhaul' perlu mengambil masa yang agak lama.
Mengulas mengenai kejadian itu, Noor Asfariza berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.34 tengah malam Rabu.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati api sedang marak di tempat penyimpanan bahan mentah minyak kelapa sawit yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 4,150 meter persegi. Hampir keseluruhan kilang tersebut musnah.
"Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan kira-kira lima jam kemudian, namun kerja 'overhaul' masih dijalankan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Noor Asfariza berkata, pihak bomba sedang menyiasat punca kebakaran dan anggaran jumlah kerugian.
"Puluhan jentera bomba membabitkan ratusan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, BBP Sungai Bakap, Perai dan Bayan Baru serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!