Rakam video bogel ketika ‘live’ taktik licik sindiket pemerasan

Arjunaidi ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berhubung kes-kes di negeri Selangor, pada Jumaat. -Foto Bernama
Arjunaidi ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berhubung kes-kes di negeri Selangor, pada Jumaat. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis merekodkan 220 kes pemerasan di Selangor sejak Januari hingga 30 Jun lalu membabitkan mangsa yang diperdaya untuk berkongsi gambar dan video bogel dengan individu tidak dikenali menerusi pelbagai platform dalam talian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menggunakan aplikasi yang memudahkan mangsa yang berusia 20 hingga 60 tahun berkomunikasi tidak kira jantina, umur dan bangsa.

“Sindiket akan mencari kenalan melalui laman sosial sebelum memperdayakan mangsa untuk membuat aksi lucah semasa sedang ‘live’ tanpa mengetahui aksi mereka sedang direkod,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, sindiket kemudiannya akan mengugut untuk menyebarkan gambar dan video yang dirakam itu sekiranya mangsa enggan membayar sejumlah wang yang diminta.

“Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa di antara RM3,000 hingga RM 50,000 dan sindiket menggunakan akaun bank tempatan untuk urusan transaksi.

“Ada juga sindiket yang menggunakan akaun luar negara seperti Western Union, E-wallet, Bank Rakyat Indonesia dan money changer (pengurup wang) bagi mengelakkan maklumat mereka dikesan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 54 kes membabitkan mangsa yang dirakam sindiket ketika sedang melakukan aksi tidak senonoh secara langsung menerusi laman media sosial.

“29 kes melibatkan kenalan kepada mangsa seperti bekas suami, bekas teman lelaki atau kenalan, manakala sebanyak 137 kes membabitkan individu tidak dikenali yang menghantar video bukan milik mangsa untuk mengganggu mangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sindiket sering mencari mangsa menggunakan aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Tinder, Telegram, Facebook, Mi Chat, Line, dan laman web GODATE2NIGHT, serta Locanto.asia malah perkhidmatan tradisional turut digunakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!