Jalan pesisir 'Pantai Miami' ditutup
KUALA NERUS- Jalan pesisir Pantai Seberang Takir dari arah bulatan Ketapang menghala ke pusat bandar (Jambatan Angkat) ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula Khamis sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, keputusan ini diambil bagi mengelak orang ramai berkunjung dan berkumpul sehingga menyukarkan penjarakan fizikal yang boleh menyebabkan penularan jangkitan Covid-19.
"Bagaimanapun, aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak bersentuhan fizikal bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter seperti prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 adalah dibenarkan.
"Justeru, semua pengguna jalan raya yang hendak pusat bandar dinasihatkan melalui jalan Seberang Takir, jalan Bukit Tumbuh dan Jambatan Sultan Mahmud, di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Abdul Rahim berkata, pihaknya akan membuat rondaan di sepanjang jalan pesisir pantai berkenaan bagi tujuan pemantauan pematuhan SOP.
"Orang ramai juga diingatkan agar merujuk SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!