Selangor Mega Job Fair @MAEPS 2019
SHAH ALAM - Selangor Mega Job Fair @MAEPS 2019 menyediakan 5,000 peluang pekerjaan kepada pemburu kerja melalui penglibatan 180 majikan yang akan turut serta pada karnival tersebut, 16 Mac ini.
Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama JobMalaysia, Jabatan Tenaga Kerja Selangor, Kementerian Sumber Manusia bakal dirasmikan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari.
Menurutnya, program yang diperkenalkan sejak 2014 itu bertujuan menyediakan peluang pekerjaan, membantu syarikat yang memerlukan tenaga kerja dan melahirkan modal insan proaktif.
"Secara tidak langsung mengurangkan kadar pengangguran di Selangor khususnya belia dan mengurangkan kebergantungan tenaga kerja pekerja asing.
"Pemohon diminta membawa sijil berkaitan untuk sesi temuduga terbuka selain disediakan aktiviti selingan seperti klinik kerjaya, ceramah, pameran dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata, pemohon digalakkan membuat permohonan secara atas talian di JobMalaysia terlebih dahulu bagi memudahkan urusan dan mengelak bersesak di Selangor Mega Job Fair @MAEPS 2019.
"Selain syarikat swasta, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terlibat dalam penganjuran kali ini dan anak syarikat kerajaan negeri termasuk PKNS, Kumpulan Semesta dan Perbadanan Menteri Besar.
"Kerajaan negeri dan JobMalaysia telah menerima beberapa cadangan daripada peserta untuk tambah baik program mendorong penganjur mengubah lokasi dari SACC ke Dewan A MAEPS yang lebih besar dan mampu menampung jumlah pengunjung yang lebih ramai," ujarnya.
Beliau menjangkakan 10, 000 peserta akan hadir pada program kali ini.
"Pada tahun lalu, hampir 60 peratus pemohon melibatkan 3,177 calon ditawarkan pekerjaan," katanya.
Beliau berharap inisiatif kerajaan negeri dapat mengurangkan pengangguran, meningkatkan taraf hidup sekaligus membantu meningkatkan ekonomi Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!