'Sayu dengar jeritan ayah minta tolong'
KAMPAR - Seorang wanita berasa sedih dan terkilan apabila tidak mampu menyelamatkan ayah tirinya yang ditemukan maut dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Padang Tembak di sini pada Khamis.
Saksi, Shabilah Mohamed Musa, 47, berkata, dia menyedari kejadian itu setelah terdengar jeritan ibunya dari rumah bersebelahan yang meminta pertolongan untuk padamkan api.
"Saya masuk rumah ternampak percikan api bermula dari siling di bilik dan ayah pula menjerit minta tolong selamatkannya kerana dia lumpuh.
"Tanpa berfikir panjang, saya terus tarik katil ayah hingga ke depan pintu. Ketika itu ibu sudah sesak nafas dan pengsan di depan rumah. Saya tidak mempunyai kudrat kuat telah keluar untuk minta pertolongan jiran-jiran pula," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurutnya, dia kemudiannya berlari masuk ke rumahnya setelah menyedari suami dan anak lelaki berusia 22 tahun masih lagi nyenyak tidur.
"Apabila berjaya menggerakkan mereka, kami cuba masuk semula untuk dapatkan ayah namun, tidak sampai beberapa minit api sudah terlalu marak membakar rumah.
"Saya berasa terkilan kerana tidak dapat selamatkan dia sedangkan ayah sudah dekat dengan pintu," katanya.
Dalam kejadian itu, kediaman Shabilah musnah 80 peratus menyebabkan mereka tujuh sekeluarga turut hilang tempat tinggal.
"Walaupun tidak sempat selamatkan ayah dan lain-lain, saya bersyukur apabila suami dan lima anak tidak apa-apa dalam kejadian ini. Mereka sempat melarikan diri.
"Semua barangan termasuk dokumen peribadi dan telefon bimbit musnah. Setakat ini, anak-anak tumpang rumah saudara berdekatan," katanya.
Kata Shabilah, keluarganya kini memikirkan untuk mengurus pengebumian ayah tiri itu selepas selesai jalani semua prosedur di hospital.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki lumpuh rentung dalam kebakaran tiga buah rumah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!