Bekalan vaksin perlahan boleh ganggu peralihan Fasa 3 di Perak

Saarani (kiri) melihat proses suntikan vaksin Covid-19 sempena lawatannya ke PPV PIKAS di Hotel Casuarina Meru pada Jumaat.
Saarani (kiri) melihat proses suntikan vaksin Covid-19 sempena lawatannya ke PPV PIKAS di Hotel Casuarina Meru pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Peralihan Perak ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh terganggu sekiranya proses pembekalan vaksin Covid-19 ke negeri ini tidak dipercepatkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembekalan vaksin itu penting bagi membolehkan negeri ini mencapai kadar 40 peratus bagi dos kedua vaksinasi yang ditetapkan kerajaan untuk mencapai nilai ambang peralihan Fasa Dua PPN ke Fasa Tiga.

Menurutnya, sehingga 21 Julai lalu hanya 10.8 peratus penduduk di negeri ini menerima dos kedua disebabkan pengedaran vaksin agak perlahan.

Saarani
Saarani

"Keadaan ini menyebabkan kita rasa ralat sedikit sebab dari segi kes, kita rendah dan penggunaan katil di ICU (unit rawatan rapi) juga mencukupi.

"Syarat untuk mencapai kadar vaksinasi 40 peratus itu bukanlah disebabkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau jentera yang tidak cukup, tetapi hanya disebabkan vaksin yang sampai kepada kita tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pengoperasian PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Hotel Casuarina Meru di sini pada Jumaat.

Beliau berharap, kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dapat mempercepatkan proses pembekalan vaksin Covid-19 seperti mana dijadualkan.

Katanya, difahamkan pemberian vaksin itu tertakluk kepada situasi semasa di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan keutamaan diberi kepada negeri-negeri yang angka jangkitannya semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini Perak telah menerima 452,610 dos vaksin daripada 688,760 dos yang dijadualkan dan kita harap dapat menerima keseluruhan jumlah tersebut sebelum akhir bulan ini.

"Persiapan kita berada pada tahap maksimum, jika vaksin diberikan, kerajaan negeri mampu melaksanakannya untuk memastikan lebih cepat dan lebih ramai dapat diberikan vaksin. Keadaan ini dapat mengurangkan tekanan perasaan kami dan melegakan rakyat Perak," katanya.

Pembekalan vaksin penting bagi membolehkan Perak mencapai kadar 40 peratus bagi dos kedua vaksinasi yang ditetapkan kerajaan bagi nilai ambang peralihan Fasa Dua PPN ke Fasa Tiga.
Pembekalan vaksin penting bagi membolehkan Perak mencapai kadar 40 peratus bagi dos kedua vaksinasi yang ditetapkan kerajaan bagi nilai ambang peralihan Fasa Dua PPN ke Fasa Tiga.

Kerajaan sebelum ini menetapkan bagi membolehkan Fasa Dua PPN beralih ke Fasa Tiga, nilai ambang yang ditetapkan adalah usaha vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan ICU di tahap selamat dan kes harian Covid-19 berada di bawah angka 2,000.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, Perak telah pun membuka tiga PPV Industri masing-masing di Kompleks Sukan Proton yang beroperasi pada 12 Julai lalu dan PPV di Hotel Casuarina Meru serta Sapura Fabrication Sdn Bhd pada 21 Julai lalu.

"Menerusi program PIKAS, kerajaan negeri menyasarkan seramai 20,340 pekerja akan mendapatkan suntikan vaksin dan jumlah ini akan bertambah dari masa ke masa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!