'Cepat dan selamat, tak payah turun kereta'

Siti Zahara menunjukkan tanda bagus selepas menerima suntikan vaksin di PPV pandu lalu di USM.
Siti Zahara menunjukkan tanda bagus selepas menerima suntikan vaksin di PPV pandu lalu di USM.
A
A
A

GEORGETOWN - Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Sains Malaysia (USM) bermula pada Jumaat memberi kesenangan kepada orang ramai terutamanya golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Bekas kakitangan Jabatan Pendaftaran USM, Siti Zahara Md Haniff, 59, menyifatkan kaedah vaksinasi secara pandu lalu sangat efektif kepada golongan OKU kerana mereka tidak perlu keluar dari kenderaan.

Dia yang hadir bersama anak perempuannya berkata, selain tidak mengambil masa yang lama, sistem itu juga dapat mengurangkan jumlah kontak di PPV sekali gus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Petugas PPV sedang memberi suntikan kepada Siti Zahara di PPV pandu lalu USM.
Petugas PPV sedang memberi suntikan kepada Siti Zahara di PPV pandu lalu USM.

"Sistem ini sangat senang, macam saya yang mempunyai masalah fizikal, ia amat praktikal. Saya tidak perlu turun kereta, hanya tunggu giliran di dalam kereta.

"Tempoh untuk terima suntikan juga tidak lama, kurang daripada 10 minit. Ketika menerima dos pertama, sistem ini belum dilaksanakan jadi agak susah kerana saya memerlukan bantuan untuk bergerak.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada semua pihak kerana memahami keadaan orang seperti saya dengan pelaksanaan PPV pandu lalu seperti ini," katanya ketika ditemui di PPV pandu lalu di USM pada Jumaat.

Sementara itu, penjaga bangunan, Cheong Fook Choon, 66, yang ditemani rakannya berkata, dia amat gembira selepas mengetahui USM melaksanakan PPV secara pandu lalu.

"Apabila tahu ada PPV pandu lalu, saya gembira kerana tak perlu turun kereta dan proses suntikannya juga sangat cepat. Tak payah tunggu sampai sejam.

"Selain itu, bagi saya dengan cara ini, ia lebih selamat kerana kita tidak perlu tunggu di luar dengan dikelilingi orang ramai. Saya amat berpuas hati," katanya.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mohamd Adikan sedang berbual dengan salah seorang penerima suntikan vaksin di PPV pandu lalu USM pada Jumaat.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mohamd Adikan sedang berbual dengan salah seorang penerima suntikan vaksin di PPV pandu lalu USM pada Jumaat.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk PPV@USM, Profesor Dr Md Roslan Hashim berkata, PPV pandu lalu itu dijangka menerima kira-kira 200 penerima sehari.

Menurutnya, PPV itu merupakan PPV pandu lalu melibatkan universiti awam yang pertama dibuka di Pulau Pinang.

"Untuk permulaan PPV pandu lalu ini akan menerima 100 penerima vaksin pada tiga hari pertama sebelum kapasiti penerimanya ditingkatkan kepada 200 sehari.

"Selepas kejayaan pembukaan PPV secara statik bermula 21 Jun lalu di PPV Dewan Utama Pelajar, operasi PPV ini diteruskan dengan penambahbaikan melalui kaedah vaksinasi secara pandu lalu bermula hari ini.

"Secara keseluruhannya PPV di USM termasuk pandu lalu mampu menampung antara 800 hingga 1,000 penerima vaksin Covid-19 dalam tempoh sehari," katanya selepas meninjau operasi PPV pandu lalu di USM di sini.

Md Roslan berkata, seperti PPV secara statik, PPV pandu lalu di USM juga dikendalikan sepenuhnya oleh warga USM sendiri yang melibatkan sukarelawan staf akademik dan bukan akademik, staf perubatan, pelajar dan juga pesara universiti.

"Pada masa ini kita mempunyai tenaga sukarelawan seramai 300 orang termasuk pelajar. Selain itu kira-kira 200 sukarelawan bertugas di PPV termasuk 50 yang membantu melicinkan operasi di PPV pandu lalu.

"Kaedah pengoperasian vaksinasi secara pandu lalu ini tertakluk kepada keperluan kes-kes tertentu sahaja, malah kita menetapkan beberapa kriteria antaranya untuk penerima dos kedua sahaja, penerima tidak memandu sendiri dan penunggang motosikal tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, selain PPV statik dan pandu lalu, USM juga diberi tanggungjawab mengendalikan PPV statik di kampus USM Bertam yang mampu menerima 400 penerima vaksin sehari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!