MAIS nafi dakwaan terbabit dalam program anjuran Ebit Lew
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan dakwaan pembabitan pihaknya dalam program anjuran pendakwah bebas, Ebit Lew seperti yang tular di laman sosial sejak Khamis.
MAIS dalam satu kenyataan berkata, kandungan perkara 12 di dalam satu artikel bertajuk 'Live Explanation Ebit Lew' yang tular sebelum ini adalah tidak benar memandangkan pihaknya tidak pernah terlibat dengan program latihan dianjurkan oleh penceramah bebas tersebut sebagaimana dakwaan penulis terlibat.
Menurutnya, hasil penelitian dan semakan MAIS terhadap sidang media Ebit sebelum ini juga mendapati pendakwah berkenaan tidak menyebut perkataan 'MAIS' sebaliknya MAEPS iaitu merujuk kepada Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
"Tindakan penulis artikel mengaitkan nama MAIS dalam penulisannya boleh memberi gambaran salah kepada orang awam.
"Dakwaan itu boleh menjejaskan imej dan reputasi MAIS sebagai pihak berkuasa terhadap hal ehwal umat Islam dan pentadbir harta zakat, Baitulmal dan wakaf dalam Selangor," katanya menerusi kemaskini di laman Facebook pada Khamis.
Menerusi artikel itu, penulis terlibat dilaporkan mendakwa wang yang disumbangkan oleh Ebit Lew kepada umat Islam di Gaza turut diperolehi melalui program latihan Keluarga Sunnah anjuran penceramah berkenaan yang dianjurkan di MAIS berjumlah RM700,000.
Sehubungan itu, MAIS berkata, pihaknya menuntut penulis artikel terlibat mengeluarkan nama agensi itu daripada kandungan artikel tersebut dengan serta-merta dan membuat permohonan maaf berhubung perkara ini.
MAIS berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis terlibat dan mana-mana pihak yang gagal menghentikan penyebaran maklumat berkenaan.
"MAIS meminta semua pemilik laman web sosial dan orang ramai yang memuat naik dan berkongsikan artikel berkenaan untuk memadamkannya dengan segera," katanya.
Tambahnya, orang ramai turut dinasihat agar dapat menyemak kesasihan sesuatu maklumat sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan.
Sementara itu, individu terbabit melalui Facebooknya turut memohon maaf atas kekeliruan tersebut dan telah memperbetulkan kesilapan itu dengan menggantikan perkataan MAIS kepada MAEPS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!