16,440 peneroka Felda di Pahang selesai tandatangan pelarasan pinjaman
KUANTAN - Sebanyak 16,440 atau 38 peratus daripada 43,126 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Pahang telah menandatangani perjanjian pelarasan pinjaman setakat Rabu lepas, sejak dokumen itu tersedia pada 8 Julai.
Tarikh akhir untuk peneroka menandatangani perjanjian pelarasan pinjaman Felda adalah pada 11 Ogos.
Menurut kenyataan Felda, peneroka yang menandatangani perjanjian tersebut dapat menikmati ansuran bulanan jauh lebih rendah iaitu RM150 sebulan dan maksimum RM300 sebulan bagi pinjaman kebun mereka.
"Bagi peneroka yang tiada hutang atau mempunyai hutang kurang daripada RM5,000, mereka layak menikmati insentif tanam semula bagi pusingan tanam berikutnya ditanggung Felda selepas ditolak caruman tanam semula atau bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda)," menurut Felda dalam kenyataan kepada Bernama di sini pada Jumaat.
Felda menjelaskan, sesi penerangan mengenai pelarasan pinjaman kepada pengurus rancangan, ketua peneroka, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anak peneroka yang tidak berada di tanah rancangan telah dijalankan secara dalam talian berikutan Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.
Menurut kenyataan itu, Felda juga mengambil pendekatan menjelaskan sebarang yang dibangkitkan melalui sesi bual bicara secara langsung di laman Facebook oleh Pengarah Kewangan Felda dan juga Pengarah Perladangan Felda.
Malah, agensi berkenaan aktif menjawab segala persoalan dibangkitkan melalui media sosial, selain memuat naik infografik untuk memudahkan warga peneroka dan generasi baharu mendapat maklumat terkini yang sahih.
"Felda turut menyediakan platform menerusi aplikasi WhatsApp yang mana segala persoalan warga peneroka dapat dijawab dengan kadar segera.
"Dengan pendekatan ini, kebanyakan isu telah terjawab dan peneroka juga lebih yakin untuk menandatangani perjanjian pelarasan pinjaman ini, malah Felda yakin lebih ramai peneroka akan bersetuju dengan perjanjian ini dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan peneroka boleh menyemak penyata hutang di pejabat rancangan masing-masing selain mengakses laman portal e-Peneroka untuk mendapatkan penyata hutang mereka.
Pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!