Bekas operator kilang didenda RM2,000 sebar berita palsu
MELAKA - Seorang bekas operator kilang didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah memuat naik satu kenyataan tidak benar di akaun Twitter miliknya pada 3 Jun lalu.
Tertuduh, Nur Anati Kamarudin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, Nur Anati didakwa telah menggunakan akaun Twitter miliknya menyebarkan berita tidak benar berkaitan jangkitan Covid-19 di kilang tempat kerjanya dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan AP3, Taman Ara Permai, Batu Berendam di sini kira-kira jam 9 pagi pada 3 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No2) 2021 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya.
Tertuduh juga boleh dikenakan denda selanjutnya iaitu maksimum RM1,000 bagi setiap kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Pengarah Pendakwaan negeri, Baidus Zaman Ahmad memohon hukuman setimpal mengambil kira isu penyebaran berita palsu merupakan perkara serius dan melibatkan kepentingan awam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan memandangkan dia telah dibuang kerja sebagai operator kilang berkenaan selepas insiden kenyataan itu tular di laman sosial, selain perlu menanggung ibu bapanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah denda tersebut dan empat bulan penjara sekiranya gagal membayarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!