Tiga wakil pembangkang berjaya yakinkan Agong, Majlis Raja-Raja
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pejuang, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mempertahankan tindakan tiga wakil pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 menolak darurat diteruskan selepas 1 Ogos.
Menurutnya, hasil daripada pandangan diutarakan oleh tiga wakil pembangkang itu diterima dan dizahirkan melalui Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang tidak bersetuju darurat diteruskan.
“Bermaksud tiga orang itu berjaya meyakinkan Majlis Raja-Raja dan Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-275 bertajuk ‘Buka Parlimen: Kuasa atau Rakyat’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga wakil pembangkang tolak darurat diteruskan
Wacana tersebut turut menampilkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari dan Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Tiga orang wakil pembangkang yang menjadi ahli dalam jawatankuasa itu melibatkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, pengarah-pengarah yang menganggotai ahli dalam jawatankuasa terbabit sepatutnya memberikan input penerangan mereka dalam jawatankuasa berkenaan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, beliau turut menyindir Nik Muhammad Zawawi yang mengatakan pengurusan Covid-19 negara ini antara yang terbaik di dunia.
“Tidak perlu jauh, pergi ke media sosial sama ada ke Facebook, Instagram, Twitter mereka menzahirkan apa yang mereka rasakan pada ketika ini, pengurusannya adalah pengurusan yang sangat teruk.
“Cuma saya tidak pasti di mana yang kenyataan pengurusan yang terbaik di dunia mungkin beberapa bulan sebelum ini atau tahun lepas itu ada disebutkan,” jelasnya.
Menurutnya, rakyat juga sudah jelik terhadap ahli politik di dalam negara ini.
“Kejelikan atau kemarahan rakyat ini sangat jelas, namun ia jelas orang-orang politik atas nama apa sekalipun menambah kemarahan rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!