Bayi perempuan didera pengasuh

Kesan lebam pada belakang bayi dipercayai akibat didera pengasuhnya.
Kesan lebam pada belakang bayi dipercayai akibat didera pengasuhnya.
A
A
A

BUTTERWORTH- Seorang bayi perempuan berusia setahun lapan bulan disyaki menjadi mangsa dera pengasuhnya di Pangsapuri Ampang Jajar, Mak Mandin di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa selepas wanita berusia 23 tahun berkenaan menemukan kesan lebam pada bahagian belakang badan anaknya selepas diambil dari rumah pengasuh.

Menurutnya,ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai meninggalkan bayi berkenaan bersama seorang lagi anak perempuannya yang berusia 3 tahun dirumah pengasuh itu sejak Khamis lalu.

“Ibu mangsa hanya mengambil semula anaknya pada Sabtu lalu, kira-kira jam 4 pagi namun apabila sampai di rumah, dia menyedari terdapat kesan merah pada belakang badan anaknya dan kesan tersebut kemudiannya menjadi hitam serta berbirat.

"Bimbang dengan keadaan itu, ibunya membawa bayi berkenaan ke Hospital Kepala Batas untuk membuat pemeriksaan dan doktor yang merawat mangsa mengesahkan terdapat kesan berbirat pada bahagian belakang badan mangsa disyaki dipukul dengan sesuatu seperti penyangkut baju," katanya ketika dihubungi di sini.

Selain itu, Noorzainy berkata, terdapat juga kesan lebam pada siku kiri mangsa serta luka di bahagian paha sebelah kanan.

Katanya, siasatan yang dilakukan mendapati ibu mangsa sering meninggalkan anaknya selama beberapa hari di rumah suspek sebelum ini dengan alasan terlalu penat bekerja dan balik awal pagi.

Tambahnya, wanita berkenaan mula menghantar mangsa kerumah suspek mulai 15 Januari lalu sehinggalah hari kejadian dengan upah sebanyak RM300 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Bayi berkenaan masih ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Kepala Batas dan difahamkan doktor perlu membuat pemerhatian lanjut dan pemeriksaan susulan kepada mangsa.

"Sehingga kini polis sedang mengesan pengasuh berkenaan untuk menahannya bagi siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!