Polis siasat helikopter rentas negeri ambil pesanan nasi ganja
IPOH - Polis akan membuka kertas siasatan berhubung tular membabitkan sebuah helikopter dari Kuala Lumpur melakukan pendaratan di sini bagi mengambil tempahan nasi ganja pada Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, siasatan dilakukan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah dan negeri.
"Kertas siasatan akan dibuka berkenaan isu ini berdasarkan kesalahan melanggar SOP merentas daerah dan negeri terhadap individu dan syarikat berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB 2020) Akta 342," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Penangan nasi ganja, ambil pesanan guna helikopter
Kehadiran sebuah helikopter dinaiki dua lelaki yang membuat penerbangan dari Kuala Lumpur dipercayai milik syarikat swasta itu mengejutkan orang ramai sebaik mendarat di Padang Ipoh dekat sini.
Helikopter tersebut dikesan telah mendarat pada jam 9.55 hingga 10.15 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja dari sebuah kedai nasi kandar terkemuka di bandar raya ini.
Mior Faridalatrash dalam laporan sebelum ini memaklumkan, semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh mendapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja.
"Helikopter tersebut tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh. Kita sudah salurkan info ini kepada pihak CAAM Ipoh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!