Jangan pandang skuad Projek FAM-MSN sebelah mata

Pemain Kelantan FC giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi baki saingan Liga Premier. -Foto TRW Kelantan FC
Pemain Kelantan FC giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi baki saingan Liga Premier. -Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

PENYERANG Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani mengingatkan pemain The Red Warriors (TRW) supaya tidak memandang rendah keupayaan skuad Projek FAM-MSN, apabila kedua-dua pasukan itu bertemu pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad lV, Kota Bharu pada, Sabtu ini.

Malah menurut Nurshamil, TRW perlu mempamerkan aksi terbaik biarpun tampil sebagai pasukan pilihan pada perlawanan itu kerana skuad kendalian bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah yang dibarisi pemain muda berusia belasan tahun pasti ‘liat’ untuk dikalahkan.

“Setiap pasukan ada kelebihan dan kekuatan masing-masing. Saya harap semua dapat berikan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi.

Kelantan FC kini berada di kedudukan ketujuh dengan 15 mata, manakala skuad projek FAM-MSN berada di kedudukan tercorot carta Liga Premier dengan dua mata selepas 11 perlawanan.

Pada masa sama Nurshamil berkata, beliau dan rakan sepasukan memberi tumpuan dalam memperbaiki kelemahan masing-masing untuk berdepan pasukan lawan seterusnya memenuhi sasaran tiga mata penuh di tempat sendiri bagi mengukuhkan kedudukan dalam liga tersebut.

“Kami perlu dapatkan semula rentak permainan sebelum ini berikutan saingan Liga Malaysia (Liga-M) berehat hampir tiga bulan apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sesi latihan yang ada kami perbaiki diri masing-masing untuk kekalkan momentum permainan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!