Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang
SETIU- Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua pintu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas, Sungai Tong, petang tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5 petang.
Menurutnya, seramai 18 anggota bomba dan penyelamat dari BBP Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bersama dua jentera bomba serta sebuah lori tangki telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Ketika kejadian tidak ada penghuni dalam rumah separuh kekal yang dibahagikan kepada dua pintu.
"Sebuah rumah dihuni oleh dua beranak manakala sebuah lagi oleh satu keluarga lima orang dan mereka mempunyai hubungan persaudaraan," katanya.
Yusmizan berkata lagi, pihaknya sempat mengawal api daripada merebak ke dua rumah lain yang terletak berhampiran.
Menurutnya, tidak ada sebarang kecederaan dialami dan punca kejadian masih dalam siasatan sementara kerugian dianggarkan RM150,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!