Desaru Coast diiktiraf antara 100 destinasi terbaik dunia
JOHOR BAHRU - Desaru Coast, resort destinasi bersepadu dekat sini, diiktiraf sebagai salah satu daripada 100 Destinasi Terbaik Dunia 2021 oleh Time Magazine.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Coast Destination Resort Roslina Arbak berkata, edisi tahunan ketiga senarai itu, yang diterbitkan pada 20 Julai, adalah berdasarkan maklumat dikumpulkan oleh rangkaian koresponden antarabangsa Time Magazine bersama pakar industri dari seluruh dunia.
"Kami sangat berbesar hati kerana diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh syarikat penerbitan terkenal ini dan kami bangga untuk mewakili Johor dan juga Malaysia. Ini merupakan pencapaian mengagumkan bagi sebuah pasukan yang baru dua tahun beroperasi dan dalam tempoh yang mencabar untuk industri.
"Dengan pengiktirafan ini, kami tidak sabar untuk meraikan kedatangan pengunjung dari seluruh dunia apabila aktiviti pelancongan dibenarkan nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Desaru Coast adalah satu-satunya destinasi di Malaysia yang tersenarai dalam pengiktirafan tahun ini.
Destinasi berkenaan dicadangkan kepada pelancong antarabangsa sebagai percutian pantai yang menawarkan seleksi hotel serta tarikan lain seperti lapangan golf bertaraf dunia dan pelayaran melalui Sedili Wetlands.
Menurut Roslina, majalah itu juga mengetengahkan pembukaan Terminal Feri Desaru Coast akan datang, yang menawarkan pilihan transit buat pengunjung dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
Terletak di tepi pantai yang bersih sepanjang 17 kilometer, Desaru Coast juga menempatkan hotel bertaraf dunia yang ultra-mewah, termasuk One and Only Desaru Coast, Anantara Desaru Coast Resort and Villas, The Westin Desaru Coast Resort dan Hard Rock Hotel Desaru Coast.
Desaru Coast juga mempunyai dua lapangan golf bertaraf dunia dan taman tema air terbesar di rantau ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!