Tindakan tegas jika terlibat konvoi #Lawan: Polis
KUALA LUMPUR - Polis tidak akan berkompromi terhadap peserta yang menyertai konvoi dan berhimpun dalam kempen #Lawan yang dijadualkan berlangsung di ibu kota pada Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terlibat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Polis turut akan mengambil tindakan kompaun di bawah Akta 342 (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan ajakan sesetengah pihak untuk menyertai acara tersebut.
“Adalah diingatkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi berkuat kuasa dan sebarang perhimpunan dan aktiviti sosial adalah dilarang sama sekali,” ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!