Sultan Johor tolak cadangan cawangan Universiti Muhammadiyah

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar- Foto http://www.royaljohor.com.my
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar- Foto http://www.royaljohor.com.my
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah menolak cadangan penubuhan cawangan Universiti Muhammadiyah di negeri ini.

Titahnya, cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah itu bertentangan dengan semua bidang kuasa dan peruntukan perundangan berkaitan agama Islam di Johor.

"Setelah membuat penelitian sedalam-dalamnya, maka saya melihat bahawa cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah ini bertentangan dengan semua bidang kuasa dan peruntukan perundangan berkaitan agama Islam di Johor Darul Ta’zim.

"Sehubungan itu, bagi mengelakkan kekeliruan, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini, saya menolak cadangan penubuhan cawangan Universiti Muhammadiyah di Johor," titahnya seperti dipetik dari laman sesawang www.royaljohor.com.my hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, walaupun mungkin cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah itu kelak tidak menyediakan pengajian agama Islam secara spesifik, namun menjadi satu pegangan kepada seluruh warga Muhammadiyah pada setiap masa berpegang, beramal dan menyebarkan doktrin Muhammadiyah selari dengan ketetapan badan tertinggi dalam gerakan Muhammadiyah.

"Saya mendapati fatwa yang dikeluarkan oleh Muhammadiyah adalah bercanggah dengan dengan fatwa di Johor.

"Antaranya dari segi akidah, Muhammadiyah berpegang kepada pegangan ALLAH SWT berjisim dan bertempat dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan hadis bersifat mutasyabihat (kesamaran).

"Walhal, pegangan akidah umat Islam di Johor adalah berdasarkan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah yang menafikan ALLAH SWT berjisim dan bertempat," titahnya.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, dari segi amal ibadah, kaedah pengambilan hukum di negeri ini, adalah berlandaskan Mazhab Syafie.

"Manakala, pegangan Muhammadiyah tidak terikat kepada mana-mana Mazhab. "Begitu juga percanggahannya terhadap keharusan amalan sambutan maulidur rasul, membaca doa qunut semasa solat subuh, membaca tahlil, talkin, menziarahi kubur dan sebagainya," titahnya.

Selain itu, Baginda Tuanku menegaskan Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan dengan jelas bahawa agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Titahnya, Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 memperuntukkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini. "Bagi melancarkan pentadbiran agama Islam, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003 telah diwujudkan.

Enakmen ini memperuntukkan bahawa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebagai Pihak Berkuasa Utama agama Islam selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan.

"Manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor adalah sebagai jawatankuasa yang memutuskan hal-hal berkaitan hukum syarak," titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah, Johor mempunyai institusi agama Islam dan pendidikan Islam yang utuh lagi sistematik melangkaui satu abad.

"Yang mana ianya berprinsipkan dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah, justeru, Johor Darul Ta’zim tidak mempunyai sebarang keperluan untuk membawa masuk fahaman, amalan dan pegangan baru daripada luar," titah baginda.

Baginda bertitah, bagaimanapun, Johor Darul Ta’zim tetap menerima dan mengalu-alukan penubuhan cawangan mana-mana universiti dari luar negara yang ingin dibina di negeri Johor Darul Ta’zim demi perkembangan ilmu dan limpahan manfaat yang akan dikecapi oleh rakyat Johor khususnya dan Malaysia amnya.

Sekiranya melibatkan kursus-kursus pengajian dan apa-apa perkara yang berhubungkait dengan agama Islam, titahnya, pihak berkenaan hendaklah merujuk kepada MAINJ dan seterusnya mendapatkan perkenan Sultan Johor selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.

"Ketetapan ini bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam di Johor Darul Ta’zim terutama dalam perkara yang tidak selari dengan pegangan aqidah, amalan agama dan tradisi masyarakat Islam di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!