JKM jadi pusat sehenti lindungi remaja, bayi
PUTRAJAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara akan bertindak sebagai pusat sehenti untuk memberi perlindungan kepada remaja dan bayi sebelum mereka dihantar ke pusat sewajarnya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, langkah itu merupakan usaha kerajaan bagi memberikan perlindungan, sokongan secara bersepadu serta mengutamakan keselamatan nyawa bayi serta ibu dalam menangani kes pembuangan bayi yang menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
"Kita sedia maklum ada kes di mana kebanyakan remaja mempunyai masalah termengandung, atau ada yang dirogol oleh ahli keluarga atau teman lelaki.
"Mereka terlalu muda dan tidak tahu apa yang perlu dibuat. Mereka boleh datang ke mana-mana JKM atau kementerian untuk mendapatkan bantuan. Kita mahu mengurangkan kes-kes pembuangan bayi yang menyebabkan kematian," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pihak berkepentingan utama berkaitan isu pembuangan bayi di sini hari ini.
Mesyuarat ketiga itu membabitkan agensi kerajaan dan syarikat yang berkaitan untuk memberikan pandangan serta strategi dalam mempromosikan poster dan infografik berhubung talian hotline Talian Kasih 15999 dalam menangani isu pencegahan kehamilan remaja dan pembuangan bayi berkenaan secara efektif dan holistik.
Menurut Hannah, pihaknya sedang bekerjasama dengan JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan pemetaan bagi kawasan-kawasan yang dikesan berlakunya kekerapan kes penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi untuk mendapatkan maklumat dan data secara tepat.
"Buat masa ini, polis hanya mempunyai maklumat kes-kes sebegini di daerah-daerah sahaja. Dengan adanya perkongsian maklumat dan data melalui pemetaan, ia boleh membantu masyarakat setempat bertindak segera menyampaikan maklumat kepada polis dan membendung kes berkenaan daripada berlaku," katanya.
Hannah berkata bulan Julai hingga Oktober dikenal pasti sebagai bulan-bulan yang kerap berlaku kes-kes pembuangan bayi kerana kajian mendapati golongan remaja lelaki dan perempuan mengadakan hubungan seksual pada musim cuti di akhir tahun hingga awal tahun.
"Jadi, pihak kementerian sedang memperkasa pendekatan relevan bagi mendekati golongan remaja melalui media sosial untuk mereka mendapatkan maklumat bimbingan dan nasihat.
"Dengan penampalan poster dan bahan mengenai Kempen Mencegah Kehamilan Remaja dan Pembuangan Bayi, diharapkan remaja yang memerlukan bantuan, tahu cara menghubungi kita.
"Inilah cabaran kementerian kerana wujudnya kesedaran yang tidak sepadan dengan teknologi dan generasi muda yang sangat 'savvy'. Kajian kita mendapati pendidikan seks hanya mula diajar kepada pelajar tingkatan tiga, tetapi sembilan peratus pelajar tingkatan satu sudahpun aktif secara seksual," katanya.
Hannah berkata pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan dengan Google untuk mengiklankan poster-poster kempen itu selama satu atau dua minit di YouTube mengenai sentuhan fizikal yang baik dan tidak baik sebagai mendidik kanak-kanak dan remaja.
"Kita juga dalam proses untuk menjadi nombor talian Kasih 15999 sebagai talian bebas tol, serta boleh dihantar secara WhatsApp oleh masyarakat. Secara ringkas, kita mahu sebuah masyarakat yang bertanggungjawab dengan mengubah stigma, cara berfikir dan budaya serta meningkatkan tanggungjawab ibu bapa," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!