Lebih 140 rumah, perumahan balai polis rosak dipukul ribut

Beberapa rumah di enam buah kampung dan sebuah taman rosak terutama pada bahagian bumbung dan gaaj kereta selepas ribut melanda di sekitar Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pada Jumaat.
Beberapa rumah di enam buah kampung dan sebuah taman rosak terutama pada bahagian bumbung dan gaaj kereta selepas ribut melanda di sekitar Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lebih 140 rumah dan satu balai polis di Tanjung Sedili, dekat sini rosak selepas dipukul ribut dalam kejadian pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ribut yang berlaku antara jam 4 petang hingga 5.20 petang.

Menurutnya, hujan lebat dan angin kencang itu melanda enam buah kampung dengan kebanyakan rumah rosak pada bahagian atap dan garaj kereta termasuk Perumahan Polis (APR) dalam Balai Polis Kuala Sedili.

"Kampung yang terlibat Kampung Sri Gading, Kampung Teluk Jeri, Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Kampung Tanah Putih, Taman Sedili dan Kampung Sedili Besar.

"Sebanyak 140 buah keluarga terlibat. Terdapat mangsa ribut yang akan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana rumah mereka rosak akibat dipukul ribut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Anggota bomba memotong pokok yang tumbang dan menghalang laluan antara Pekan Sedili menghala Kampung Sedili Besar, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pada Jumaat.
Anggota bomba memotong pokok yang tumbang dan menghalang laluan antara Pekan Sedili menghala Kampung Sedili Besar, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pada Jumaat.

Katanya, jumlah sebenar mereka yang akan dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Setia Jaya dan SK Sedili Besar ketika ini masih dalam tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghulu dan ketua kampung terlibat.

"Ini memandangkan kebanyakan mangsa mengambil keputusan untuk tinggal di rumah saudara masing-masing di kawasan berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tiada jalan raya yang terputus akibat ribut kerana tindakan penyelenggaraan jalan telah diambil pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi dengan mengalih dan memotong pokok-pokok yang tumbang.

Jelasnya, kejadian tersebut merupakan insiden pertama ribut yang paling teruk di Tanjung Sedili dan setakat ini anggaran taksiran bencana kerugian akibat kerosakan masih belum dapat dilakukan.

"Pemantauan masih diteruskan. Jabatan dan agensi kerajaan seperti pihak polis, bomba, JKM, penghulu dan ketua kampung telah hadir ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kecemasan dan tindakan menyelamat," katanya.

Sementara itu, 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu jentera Fire Rescue Tender (FRV) dikejarkan ke Tanjung Sedili.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan III brahim Wahid berkata, pihaknya memotong kira-kira 20 batang pokok yang tubang antara Pekan Sedili menghala Kampung Sedili Besar, operasi tamat jam 7.14 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!