Menara komunikasi tumbang akibat cuaca buruk
KOTA BHARU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sebuah menara milik Redtone yang dikongsi bersama dengan Celcom, Digi dan Maxis telah tumbang dipercayai akibat kejadian hujan lebat dan angin kencang di Kg. Gelong Badak, Bachok pada Khamis sekitar pukul 7.00 petang.
MCMC dalam satu kenyataan pada Jumaat memberitahu, ekoran daripada kejadian tersebut, gangguan liputan komunikasi dan Internet dijangka berlaku bagi pelanggan Celcom, Digi dan Maxis di kawasan sekitarnya.
Menurutnya, pihak MCMC dan Redtone telah turun ke lokasi pagi tadi bagi menjalankan siasatan lanjut selain mencari jalan penyelesaian segera untuk mengatasi masalah liputan yang terganggu akibat kejadian berkenaan.
"Sebagai langkah awal, sebuah menara sementara Base Transceiver Station (BTS) akan didirikan di lokasi kejadian dengan secepat mungkin bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk setempat buat sementara waktu.
"Kerja-kerja memulihkan liputan dijangka siap selewatlewatnya pada penghujung bulan Julai 2021," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!