Masa depan Eriksen di liga Itali kelam
JAWATANKUASA Teknikal Saintifik Persatuan Bola Sepak Itali (CTS FIGC) memberi amaran bahawa tonggak Inter Milan, Christian Eriksen tidak akan dibenarkan beraksi pada saingan liga negara itu kecuali pemain itu mengeluarkan pendetak jantung yang dipasang dalam tubuhnya.
"Christian Eriksen tidak boleh dibenarkan beraksi dalam saingan liga Itali pada masa ini berdasarkan situasi semasanya pada ketika ini.
"Namun sekiranya Eriksen telah mengeluarkan pendetak jantung, dan mendapatkan pengesahan patologi maka dia dapat kembali bermain untuk Inter Milan," kata ahli CTS FIGC, Francesco Braconaro kepada sebuah stesen radio tempatan.
Eriksen sebelum ini menggemparkan komuniti bola sepak dunia pada Euro 2020, apabila rebah secara tiba-tiba pada minit ke-42 akibat serangan jantung semasa perlawanan peringkat kumpulan Denmark menentang Finland di Copenhagen pada 12 Jun lalu.
Bekas tonggak Tottenham Hotspur berusia 29 tahun itu kemudian diberikan rawatan kecemasan di tepi padang sebelum dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.
Jelas Braconaro lagi, sekiranya Eriksen ingin meneruskan karier bola sepaknya pada masa depan, liga Itali bukan pentas yang sesuai kepada pemain tersebut dengan situasi semasanya.
"Terdapat peraturan yang sangat ketat di Itali mengenai siapa yang dibenarkan menjadi atlet profesional, dengan ujian yang dilakukan oleh CTS FIGC dan bukan kelab.
"Biarpun terdapat pemeriksaan, namun terdapat kematian dalam sukan ini kerana masalah jantung yang tidak di diagnosis," tegasnya.
Untuk rekod, pemain Belanda, Daley Blind sebelum ini mempunyai alat yang sama dibenarkan beraksi bersama The Oranje dan Ajax Amsterdam.
Saingan liga Itali sebelum ini mencatat beberapa kes kematian mengejut semasa perlawanan antaranya, insiden menimpa pemain tengah Livorno, Piermario Morosini berusia 25 tahun yang rebah dan meninggal semasa perlawanan Serie B pada April 2012.
Selain itu terdapat insiden lebih menyayat hati melibatkan kapten Fiorentina, Davide Astori berusia 31 tahun yang meninggal dunia semasa tidur pada Mac 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!