Caj kesesakan ganti kutipan tol
SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan cadangan ambil alih empat lebuh raya bertol dapat menjimatkan RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol.
Menurutnya, selain itu, pengguna lebuh raya juga bakal menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun yang mana kerajaan akan menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan menggantikan kepada caj kesesakan.
"Caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung pada masa penggunaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan belum mampu mansuhkan tol: Tun M
"Menerusi dasar baharu ini pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan luar daripada waktu puncak sekali gus mengurangkan kesesakan pada waktu puncak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Guan Eng, sebarang lebihan kutipan caj kesesakan pula akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam di Malaysia.
"Dijangkakan usaha pengambilalihan empat lebuh raya bertol ini akan mengambil masa selama enam bulan bagi memenuhi kesemua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang," jelasnya.
Baru-baru ini Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan kerajaan telah menjalankan rundingan bersama Gamuda Berhad yang merupakan pemegang utama konsesi empat lebuh raya dalam usaha menghapuskan kutipan tol.
Empat lebuh raya tersebut Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART (SMART).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!