Jangan terperangkap dengan ah long

Ah long sanggup berbuat apa sahaja untuk menggugut mangsa.
Ah long sanggup berbuat apa sahaja untuk menggugut mangsa.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekali sudah terjebak, sukar untuk berpatah balik. Begitulah diibaratkan mangsa yang terjebak meminjam wang daripada lintah darat atau lebih dikenali sebagai ah long.

Pelbagai cara digunakan ah long untuk mendapatkan kembali wang mangsa sehingga ada yang mengakibatkan kehidupan mangsa dan keluarga tertekan.

Aktivis masyarakat, A.G Thilagan berkata, ah long melakukan bermacam-macam tindakan termasuk mengancam nyawa peminjam semata-mata untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjam mangsa.

“Banyak aduan yang saya terima, antaranya ada ah long yang datang ke rumah mangsa, mereka buat rumah mangsa macam rumah sendiri, selain ada yang mabuk di dalam rumah mangsa.

“Ada juga mangsa yang mengadu ah long datang ke rumah mereka bukan sahaja pada waktu siang, malam pun mereka datang, tidur, makan dan minum, buat rumah mangsa macam hotel,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Sentosa, Klang, Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertamadun ah long ini bermula apabila mangsa sudah tidak mampu untuk meneruskan bayaran seperti sebelumnya.

“Awal-awal ah long akan bersikap seperti kawan, tanya mangsa sama ada perlu lagi wang atau tidak, kebanyakan mangsa akan terperangkap dengan taktik ah long ini. Mereka bertindak sedemikian supaya peminjam akan menambah jumlah pinjaman mereka.

“Jadi bila dah terlalu banyak jumlah yang dipinjam, mangsa akan mengalami masalah untuk membuat bayaran. Ini memberi kesan kepada mangsa apabila ah long akan mula mengganggu mangsa jika gagal membayarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Peminjam meningkat ketika PKP

Wabak Covid-19 yang melanda negara memberi kesan besar kepada semua pihak terutamanya mereka yang mengalami masalah kewangan akibat diberhentikan kerja, pendapatan berkurang dan sebagainya.

Thilagan berkata, jumlah mangsa yang membuat pinjaman daripada ah long turut mencatatkan peningkatan ketika wabak Covid-19 melanda negara.

“Jumlah peminjam yang dicatatkan melebihi hampir 50 peratus. Ada yang memberikan alasan tidak cukup wang untuk menanggung komitmen seperti ansuran rumah, kereta dan sebagainya, jadi jalan terakhir mereka adalah dengan meminjam daripada ah long.

“Tambahan pula syarat yang dikenakan ah long ini nampak tidak terlalu rumit, jadi mangsa yang tak berfikir panjang terus membuat pinjaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan peniaga juga ramai yang menjadi mangsa ah long kerana kebanyakan mereka mempunyai masalah dari segi pusingan modal sehingga terpaksa membuat pinjaman untuk menambah modal berniaga.

“Sedangkan tindakan mereka (peniaga) ini bukannya memberi kebaikan malah akan menambahkan kesukaran.

“Apabila perniagaan yang diusahakan tidak mampu bertahan dan pada masa sama dibebani pula dengan hutang ah long, maka ramai peniaga yang tewas dan terus menjadi mangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Thilagan berkata, kaedah psikologi adalah antara cara yang digunakan dalam memberikan bantuan kepada mangsa yang terjebak dalam kes melibatkan pinjaman ah long ini.

Katanya, nasihat akan diberikan kepada peminjam di samping mengkaji kaedah bayaran yang sesuai terhadap mereka yang menjadi mangsa ah long.

“Dalam soal ini, kita bermain dengan emosi, kebanyakan peminjam atau mangsa ini mengalami tempoh yang cukup lama menjadi mangsa gangguan ah long,sehinggakan ada yang sampai tahap hidup mereka sudah hampir hancur gara-gara ugutan ah long.

“Apabila mereka tidak mampu lagi bertahan, mereka akan buat aduan kepada saya, jadi bila terima aduan ini, kita tidak boleh terus memaksa mereka menceritakan apa yang mereka alami, tujuan mereka pinjam dan sebagainya, perlu ada sedikit pujuk-memujuk di situ.“Ada keluarga peminjam yang datang menangis-nangis minta dibantu sebab ah long ugut macam-macam.

“Itu saya anggap cabaran kami untuk berunding bagi mengurangkan kadar faedah pinjaman,” katanya

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan sesi pertemuan bersama ah long bagi melihat bayaran yang telah dijelaskan oleh mangsa.

“Seperkara yang perlu kita ingat adalah ah long mengenakan bunga yang cukup tinggi kepada peminjam. Ini mengakibatkan beban hutang peminjam menjadi semakin tinggi.

“Jadi akan ada sesi perbincangan. Kita akan cuba mengadakan ketetapan yang mana memberi faedah kepada dua pihak, iaitu peminjam tidak lagi ditekan ah long manakala ah long mendapat kembali wang yang dipinjamkan tanpa bunga yang tinggi,” katanya.

Pinjaman ah long beri kesan berpanjangan

Tindakan membuat pinjaman daripada ah long akan menyebabkan implikasi berpanjangan bukan sahaja peminjam malah kepada keluarga mereka termasuklah dari segi emosi dan psikologi sehingga mengakibatkan institusi kekeluargaan berantakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Klang, Selangor, G.Gunaraj berkata sejak pihaknya memberikan khidmat kepada mangsa ah long ini, banyak kes yang telah diterima pihaknya sehinggakan ada yang mahu mengambil keputusan untuk membunuh diri.

G-Gunaraj
G-Gunaraj

“Waktu pandemik ini ramai masyarakat yang terkesan, ada yang diberhentikan kerja, ada mengalami pengurangan gaji, yang berniaga pula alami kesukaran nak bayar sewa, nak pusing modal dan sebagainya.

“Tapi apa pun halangan dan rintangan, nasihat saya elakkanlah dari meminjam dengan ah long.

“Ah long ini taktik mereka, mereka akan cuba perdaya peminjam dengan tidak memerlukan dokumen dan sebagainya untuk buat pinjaman, sedangkan kita tidak tahu apa di sebalik itu, dengan bunga yang tinggi pastinya akan beri kesan kepada peminjam,” kata beliau.

Menurutnya, perkara paling penting adalah rancang kewangan dengan teliti.

“Jika kita berpendapatan RM2,000 berbelanjalah dengan apa yang kita ada, simpan jika ada lebih.

“Jangan terlalu ikutkan kehendak semata-mata, jangan pinjam daripada ah long kerana ia akan beri kesan besar bukan sahaja kepada kita malahan keluarga kita,” kata Gunaraj.

Polis siasat kes pinjaman tak berlesen RM2.6 juta

KUALA LUMPUR - Sebanyak 508 kes melibatkan pemberi pinjaman wang tidak berlesen telah disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membabitkan jumlah pinjaman hampir RM2.6 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, seramai 508 individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket ini telah ditahan dalam tempoh tersebut.

“JSJK menggerakkan pasukan untuk melaksanakan risikan berhubung kegiatan sindiket ini bermula 2 Julai lalu.

“Seterusnya pada 6 dan 7 Julai 2021, Operasi Khas - Vulture 1/2021 dilancarkan secara serentak di seluruh negara dengan fokusnya adalah untuk membanteras kegiatan ah long.

“Hasil serbuan menerusi operasi dijalankan berjaya menahan seramai 84 individu,” katanya.

Kebanyakan iklan pinjaman ah long ini terletak di kawasan tumpuan ramai.
Kebanyakan iklan pinjaman ah long ini terletak di kawasan tumpuan ramai.

Menurut beliau, operasi tersebut turut menumpaskan beberapa sindiket ah long yang dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan tersebut.

“Antara sindiket yang berjaya ditumpaskan adalah sindiket Geng 24 di Pulau Pinang, sindiket Ah Meng (Kuala Lumpur), sindiket Andy (Kelantan), sindiket David (Sabah) dan sindiket Ah Loi (Sarawak).

“Pelbagai peralatan yang digunakan untuk mengugut mangsa turut dirampas daripada sindiket berkenaan termasuk kereta, cat, minyak, risalah pinjaman, rantai besi dan wang tunai RM45,000,” kata beliau.

Kes 1

Terpaksa pinjam sampai 11 ah long

KLANG - “Saya tertekan sampai satu tahap saya rasa macam dah tak berguna untuk hidup lagi,” demikian luah seorang mangsa ah long yang hanya mahu dikenali sebagai Shanti.

Shanti, 54, berkata, dia telah meminjam daripada 11 ah long untuk membuat modal pusingan berniaga.

“Saya berniaga dan mempunyai kedai makan sendiri. Bila waktu Covid-19 ini, perniagaan saya terjejas sebab pelanggan tidak dibenarkan makan di kedai. Saya cuba buat secara bungkus, tapi tak menjadi. Jadi saya terpaksa berhutang dengan ramai orang.

“Sehinggakan modal pusingan saya terguna, jadi nak cari modal untuk tampung, akhirnya saya terpaksa meminjam daripada 11 ah long,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, tindakannya itu adalah untuk menampung hutang yang dipinjam sebelum ini.

“Mulanya saya pinjam dengan seorang ah long, akibat bunga yang tinggi, saya tak mampu nak bayar, sampailah 11 orang ah long saya pinjam.

“Saya hutang atas hutang dan saya terpaksa buat begitu. Saya tak tahu lagi dengan siapa saya boleh bergantung, nak pinjam daripada saudara-mara, masing-masing ada kesusahan sendiri,” katanya.

Kes 2

‘ Mereka ugut tahu anak saya belajar di mana ’

KLANG - “Ah long memberitahu saya, mereka tahu di mana anak saya belajar.”

Itu antara luahan seorang lagi mangsa ah long yang mendakwa anaknya menjadi sasaran lintah darat itu sejak hampir setahun lalu gara-gara tidak mampu melunaskan wang dipinjam.

Azman, 54, berkata, dirinya mula menjadi mangsa ah long sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Waktu itu kebetulan kontrak syarikat tempat saya bekerja sudah tamat, jadi syarikat tak perlukan khidmat saya lagi. Saya jadi hilang punca sebab banyak komitmen yang perlu saya selesaikan.

“Jadi saya pinjam dengan ah long RM10,000. Saya juga cuba cari kerja lain tapi tak dapat. Kemudian saya cuba berniaga air minuman secara kecil-kecilan. Hasil daripada berniaga itu saya bayar kepada ah long secara mingguan,” ceritanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, keadaan semakin meruncing apabila gagal membayar pinjaman seperti dijanjikan disebabkan masalah perniagaan.

“Saya hadapi masalah dalam berniaga. Dengan pulangan tak mencukupi, saya gagal bayar hutang seperti dijanjikan. Sejak itu, ah long mula mengugut termasuk melibatkan anak saya yang belajar di Melaka. Mereka kata tahu anak saya belajar di sana.

“Mereka tak ugut nak apa-apakan, cuma mereka cakap mereka tahu. Saya bimbang dan buat laporan polis. Alhamdulillah, setakat ini difahamkan polis ada ambil tindakan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!