Lapan beradik yatim piatu akibat Covid-19 ditawar RRP
KUANTAN - Dugaan berat lapan beradik yang kehilangan kedua ibu bapa akibat Covid-19 mendapat perhatian kerajaan negeri apabila menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma untuk mereka.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rumah RRP itu dicadangkan dibina kampung asal arwah ibu mereka di Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.
Menurutnya, sementara menunggu rumah itu siap, kerajaan negeri juga akan membiayai rumah sewa sementara untuk mereka.
"Saya turut sedih dan bersimpati dengan nasib lapan beradik ini. Anak sulung keluarga itu, Nazurah Nabilah Benyajeed yang baru berusia 19 tahun bersama adiknya berusia empat hingga 18 tahun kini tinggal menyewa bersama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor.
"Bagi memastikan mereka dapat tinggal bersama, kerajaan negeri membuat tawaran RRP ini manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Rosdy berkata, selain itu, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanan.
"Tawaran ini telah dimaklumkan kepada Nazurah dan berharap mereka menerimanya," katanya.
Lapan beradik itu menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua-dua ibu bapa, Benyajeed Bernie, 45 dan Noraini Ibrahim, 43 meninggal dunia pada 16 dan 18 Julai lalu akibat Covid-19.
Kisah mereka tular di Facebook dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pengamal media, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN: TPM bantu lapan beradik yatim piatu akibat Covid-19
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!