Felda setuju tambah baik perjanjian pelarasan pinjaman
SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersetuju untuk menambah baik perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka yang dilakukan sebelum ini.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan oleh pihaknya ialah dengan membuat satu addendum atau menambah beberapa terma baharu kepada perjanjian yang ada ketika ini.
Menurut beliau, tindakan tersebut diambil selepas mendengar pandangan daripada pelbagai pihak yang terlibat.
"Kita akan tambah baik perjanjian dengan melakukan beberapa addendum atau menambah beberapa terma baharu bersama-sama perjanjian ini.
"Kita tidak akan ubah perjanjian yang ada, cuma kita tambah baik sahaja supaya dapat mengambil kira keperluan yang kita kongsi bersama apabila kita dengar pandangan orang bawah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Sesi Temu Rakyat Parlimen Jelebu Secara Online yang bertajuk Penjelasan Berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka Felda yang disiarkan di Facebook Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Program itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Halim Sharif dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.
Idris berkata, setakat ini lebih daripada 54,000 peneroka Felda sudah menandatangani perjanjian tersebut dan mendapat sambutan menggalakkan.
Jelas Idris, pihaknya juga akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan di pengerusi oleh pengarah besar Felda sendiri bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit berhubung perjanjian tersebut.
"Jadi jawatankuasa ini akan berfungsi bagi menyelesaikan hal-hal terpencil berkaitan isu perjanjian pelarasan hutang.
"Ia supaya masalah tersebut dapat diselesaikan dan memastikan tiada sesiapa yang akan tertinggal," katanya.
Dalam pada itu, Amiruddin berkata, peneroka yang tidak berhutang dan menandatangani perjanjian tersebut akan mendapat insentif tanam semula ke hadapan.
Menurut beliau, insentif itu akan membolehkan peneroka mendapat subsidi dan pengurangan kos tanam semula.
"Kita tak boleh bagi pelupusan hutang kerana mereka tiada hutang tak akan kita nak bagi mereka duit.
"Jadi mereka akan dapat subsidi dan pengurangan kos tanam semula. Itu sahaja yang kita boleh janji setakat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!