Perak perlu cukup vaksin laksana vaksinari tanpa janji temu
TANJUNG MALIM - Perak memerlukan bekalan vaksin Covid-19 yang mencukupi untuk melaksanakan vaksinari tanpa janji temu.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri bersedia melaksanakan inisiatif tersebut dengan kekuatan petugas sedia ada.
Menurutnya, sehubungan itu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi diharap mampu memberikan bekalan seperti yang diminta kerajaan negeri.
"Sebenarnya kita ada pasukan yang mencukupi. Saya melihat bagaimana situasi di dewan orang ramai yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Tapah dan 'outreach' dari rumah di Lenggong.
"Jika vaksin mencukupi, kita juga boleh buat seperti di Selangor supaya dapat memberi vaksin kepada lebih ramai rakyat negeri ini dengan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas melawat Program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (Trailer Mobile Outreach) Daerah Batang Padang di Dewan Semai Bakti Felda Besout 1, Sungkai, di sini pada Sabtu.
Mengenai Program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak di Felda Besout, Saarani berkata, kerajaan Perak mengalu-alukan sebarang usaha daripada semua pihak untuk membantu meningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.
Menurutnya, program itu merupakan salah satu contoh kerjasama di antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu merealisasikan usaha ini bagi mempercepatkan Perak memasuki Fasa 3 Program Vaksinasi dengan menepati salah satu nilai ambang iaitu mencapai 40 peratus vaksinasi.
"Untuk makluman, program ini merupakan kolaboratif antara Kelab Peminat Cub Prix Malaysia bersama Safe Aim Mutual Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri yang melibatkan kawasan Felda Besout 1,2,3,4 dan 5.
"Ia melibatkan kira-kira 3,000 vaksin bagi dos pertama dan telah bermula sejak 22 Julai dan akan berakhir hari ini (24 Julai)," katanya.
Tambah beliau, jika program tersebut berjaya dan memberi manfaat, kerajaan negeri sedia memperluaskan ke kawasan Felda di seluruh negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!