Misi bekal air bersih di benua Afrika

22
22
A
A
A

KUALA LANGAT - Kariah Masjid Taqwa, Surau Raudatul Muttaqin dan Yayasan Amal Malaysia berganding bahu menjayakan misi membekalkan air bersih Program Water4life di negara Cameroun dan Chad yang terletak di benua Afrika.

Menurut Timbalan Nazir Masjid Taqwa Banting, Zainal Ali, program tersebut melibatkan pembinaan mesin gerudi dan pemampat udara bernilai hampir RM220,000 yang ditanggung kosnya oleh NGO dari negara tersebut, Cansuyu Cameroun.

"Misi Water4life ini saya pernah lakukan di Sudan beberapa tahun lalu dan misi kali ini adalah yang kedua. Kita akan membuat penghantaran mesin-mesin ini dalam kontena seberat 15 tan pada 2 Mac depan.

"Selain mesin-mesin ini kita akan menghantar sumbangan berupa pakaian dan peralatan kesihatan di dalam satu kontena menuju Cameroun dalam waktu terdekat, "katanya di Masjid Taqwa Banting di sini.

Zainal berkata, beliau akan pergi secara bersendirian ke Cameroun hujung bulan Mac depan bagi menjadi tenaga pengajar kepada pihak NGO Cansuyu melakukan kerja-kerja membuat telaga tiub.

Katanya lagi, beliau akan berada di Cameroun dan Chad selama sebulan dengan kos ditanggung oleh NGO Cansuyu bagi memastikan aktiviti membina telaga tiub tersebut berjalan lancar.

"Kerja amal yang kita lakukan bersama YAM dan NGO Cansuyu Cameroun adalah demi kebajikan rakyat negara tersebut maka saya berharap dalam masa berbaki beberapa hari ini sumbangan masih boleh dibuat untuk kita memenuhkan kontena yang akan dihantar 2 Mac depan, "katanya.

Katanya, setakat ini sumbangan pakaian telah mencukupi namun untuk sumbangan kewangan masih boleh dihulurkan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh memasukkan wang sumbangan ke akaun CIMB Bank, Darul Ilmi Boundry nombor akaun 86-0347248-3 atau menghubungi Zainal di talian 0132622055.