MB Kedah nafi bantuan lewat di kawasan PKPD

Petugas membantu menyusun sayur-sayuan sebelum diagihkan kepada penduduk terkesan PKPD Kuala Muda pada Sabtu.
Petugas membantu menyusun sayur-sayuan sebelum diagihkan kepada penduduk terkesan PKPD Kuala Muda pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Bantuan khas wang tunai dan makanan basah kepada penduduk terjejas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) daerah Kuala Muda diagihkan bermula pada Khamis.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pada hari pertama agihan, sebanyak 1,037 bungkus mengandungi dua ekor ayam diagihkan di PKPD Taman Bandar Baru, manakala 139 bungkus diagihkan di Taman Cahaya PKNK dan Kampung Sireh.

Menurutnya, sebanyak 1,591 pek pula diagihkan pada Jumaat ke rumah-rumah sekitar Taman Bandar Baru dan Lembah Permai.

“Bantuan lain seperti sayur-sayuran dan telur akan disampaikan secara berperingkat. Agihan dilakukan bersama Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim dan diselia oleh penghulu mukim Sungai Petani dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) serta jawatankuasa masjid termasuk ketua lorong setiap taman berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi kesal apabila ada pihak tertentu cuba mencetuskan isu kononnya bantuan lewat diagihkan selain cubaan memprovokasi sentimen perkauman berkaitan bantuan disalurkan.

“Kerajaan berusaha bantu penduduk terlibat di kawasan perumahan yang dikenakan PKPD, namun ada pula individu cuba sabotaj dengan membuat rakaman suara dan ditularkan kononnya bantuan ayam diberikan kepada orang Islam terlebih dahulu, selebihnya esok atau lusa kepada kaum lain. Dakwaan ini sangat tidak berasas,” katanya.

Menurutnya, individu berkenaan turut menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung bantuan tunai sebanyak RM50 dan dikatakan lewat diterima penduduk.

“Kerajaan telah meluluskan bantuan tunai segera RM100 untuk setiap rumah. Untuk bantuan tunai ini sahaja, melibatkan peruntukan kewangan RM276,700.

Artikel Berkaitan:

Ini semua perangai ‘jemuan’ yang mahu timbulkan kekeruhan antara kaum dan kebencian bukan Islam terhadap kerajaan negeri. Jemuan ini sentiasa berusaha cetuskan perbalahan dan buruk sangka sesama manusia.

“Edaran bantuan dibuat mengikut lorong-lorong perumahan yang diaturkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan penduduk tempatan. Tiada masa untuk kita buat bancian ini rumah Melayu, Cina atau India. Semua dilayan sama adil,” katanya.

Pihaknya mengingatkan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekecohan agar menghentikan perbuatan tidak berfaedah tersebut.

Kerajaan menguatkuasakan PKPD di Sungai Petani membabitkan Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai di Sungai Lalang dengan anggaran 11,600 penduduk dan PKPD Kawasan Perusahaan Ringan Bakar Arang termasuk Taman Cahaya PKNK membabitkan 300 penduduk, bermula 5 hingga 18 Julai.

Bagaimanapun, PKPD di daerah Kuala Muda dilanjutkan bermula 19 Julai hingga 1 Ogos depan.

ARTIKEL BERKAITAN:Lanjut PKPD: Penduduk gusar bekalan, wang tunai makin kurang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!