Vaksin pekerja industri ditambah 3,000 dos sehari
SEREMBAN - Jumlah suntikan harian vaksin Covid-19 kepada pekerja industri di Negeri Sembilan dipertingkatkan pada kadar 3,000 dos sehari di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) sedang membuat penilaian berhubung jumlah suntikan harian bagi mempercepatkan proses vaksinasi pekerja industri.
"Ketika ini jumlah suntikan harian adalah pada kadar sekitar 1,500 sehari di Pusat Pemberian Vaksin PIKAS d’Tempat Country Club, Sendayan.
"Jumlah itu akan ditingkatkan dua kali ganda kepada 3,000 dos sehari selepas PPV itu dibuka semula minggu depan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di PPV 'Outreach' Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di Dewan Besar Gadong Lalang di sini, pada Sabtu.
Tambah Mohmad Rafie, usaha mempercepatkan proses vaksinasi pekerja industri ini juga disokong dengan pembukaan PPV PIKAS di D'Cattleya Senawang pada 2 Ogos depan yang dijangka menyediakan 3,000 dos suntikan sehari.
Katanya, usaha mempercepat proses vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor perindustrian perlu dilaksanakan segera supaya ekonomi negara dapat berjalan secara optimum selain menamatkan kluster kilang.
"Justeru, pihak pengurusan perlu memastikan setiap pekerja memperoleh vaksin dan setiap individu termasuk pekerja memasuki premis perindustrian perlu disaring terlebih dahulu secara 100 peratus.Hanya mereka bebas gejala Covid-19 yang dibenarkan masuk ke kilang," katanya.
Sementara itu, berhubung PPV 'Outreach' DUN Ampangan, Mohamad Rafie berkata, pihaknya menyasarkan 1,000 penduduk sekitar menerima vaksin Covid-19 pada sesi pertama.
"Usaha ini disambut baik oleh masyarakat setempat kerana mereka rasa selesa, malah ada juga warga emas berusia 60 tahun yang belum divaksin mendapatkan suntikan di sini.
"Seramai 18 pesakit terlantar di kawasan Ampangan juga berjaya mendapatkan vaksin Covid-19 masing-masing tanpa perlu ke PPV dengan kerjasama petugas KKM dan sukarelawan yang datang terus ke rumah mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!