Laung azan lepas lihat ribut

Wan Mohamed Khozani (kanan) menceritakan detik kejadian kepada Wan Hassan (dua dari kiri) yang hadir ke rumahnya di Kampung Sungai Petai di Pasir Puteh pada Sabtu.
Wan Mohamed Khozani (kanan) menceritakan detik kejadian kepada Wan Hassan (dua dari kiri) yang hadir ke rumahnya di Kampung Sungai Petai di Pasir Puteh pada Sabtu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang lelaki bertindak spontan dengan melaungkan azan sebaik sahaja kawasan rumahnya di Kampung Sungai Petai di sini dipukul ribut pada Jumaat.

Wan Mohamed Khozani Wan Yusoff, 58, berkata, laungan azan itu merupakan ikhtiarnya untuk memohon bantuan daripada ALLAH supaya ribut yang membadai kawasan rumahnya kembali reda.

"Masa ribut berlaku saya berada di dalam rumah dan dikejutkan dengan bunyi kuat atap ditiup angin. Saya kemudian terus keluar dari rumah untuk melihat apa sebenarnya berlaku," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Menurutnya, terkejut melihat ribut melanda kawasan berkenaan, dia kemudian terus bertindak melaungkan azan.

Katanya, bagaimanapun sebatang pokok macang yang berusia hampir 50 tahun di tepi rumah telah tumbang dipukul angin kuat dan menghempap bilik dan stor rumahnya.

Wan Mohamed Khozani berkata, walau bagaimanapun, dia bersyukur apabila seluruh ahli keluarganya terselamat dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, dalam kejadian sekitar jam 4.40 petang itu, enam buah rumah mengalami kerosakan teruk dipukul ribut.

Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan 32 lagi buah rumah mengalami kerosakan kecil di lapan buah kampung iaitu Sungai Petai, Gong Cokoh, Gong Kala, Gong Keding, Gong Kedak, Gong Kual, Gong Tinggi dan Tebing Tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kerosakan teruk ini membabitkan keseluruhan bumbung rumah tercabut, rumah ditimpa pokok dan bilik musnah akibat kejadian tersebut.

"Sebagai bantuan awal kita akan memberikan sumbangan 'one-off' kepada mereka yang terlibat bagi meringan beban mangsa," katanya.

Menurutnya, bantuan susulan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan lain akan dipohon bagi membantu mangsa terlibat.

Beliau berkata, mangsa yang masih belum membuat laporan polis dinasihatkan supaya berbuat demikian bagi memudahkan sumbangan disalurkan.

Wan Hassan berharap mangsa yang terlibat supaya tabah menghadapi ujian ini dengan sebaik mungkin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!