Pekerja kilang maut digilis lori
KOTA TINGGI - Seorang pekerja kilang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Cempaka Blok B5, Felda Air Tawar 4 dekat sini pada Sabtu.
Kejadian jam 12.16 tengah hari itu berlaku ketika mangsa, Mohamad Amirul Kasni, 28, yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa hilang kawalan semasa melalui selekoh dan merempuh bahagian tengah lori yang dipandu Sahrul Misri, 35.
Menurut beliau, akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh dan kepalanya digilis tayar belakang sebelah kanan lori.
"Mangsa yang bekerja di sebuah kilang Pasir Gudang cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat," katanya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!