Masih ada ruang fiskal untuk terus bantu rakyat: PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan masih mempunyai ruang fiskal walaupun terhad bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi untuk terus membantu rakyat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pengurusan ekonomi negara, seperti yang diperakui agensi-agensi penarafan antarabangsa, masih dalam keadaan yang baik.
"Kerajaan telah membuktikan melalui lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk membelanjakan wang untuk membantu rakyat, membantu kelangsungan perniagaan,” katanya dalam sidang media khas di sini pada Sabtu.
Fitch Solutions Country Risk & Industry Research baru-baru mendakwa kerajaan tidak akan dapat membiayai pakej rangsangan semasa mahupun pakej-pakej lain pada masa hadapan disebabkan pelbagai kekangan yang dihadapi negara buat masa ini.
Kerajaan setakat ini telah melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi dengan nilai melebihi RM530 bilion, termasuk lebih RM80 bilion suntikan fiskal kerajaan.
Ia memberi manfaat kepada lebih 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan.
Perdana Menteri berkata, defisit kerajaan dijangka akan melebihi unjuran enam peratus tahun ini dengan mengambil kira kesan kawalan pergerakan yang terbaharu dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Selangor.
“Namun, defisit ini walaupun besar, boleh kita tolak ke tepi seketika untuk memastikan ekonomi Malaysia pulih dan rakyat kita dilindungi.
“Unjuran pertumbuhan mungkin terpaksa diturunkan sedikit, namun, kita optimis apabila lebih ramai divaksinasi dan lebih banyak sektor ekonomi dapat dibuka dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga (Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara), maka ekonomi kita akan bangkit semula," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!