Lelaki disambar api lompat pagar minta tolong
GEORGETOWN - Seorang penjaga bangunan berlari dan melompat pagar sebuah rumah dengan tubuhnya melecur akibat disambar api dalam kebakaran di Jalan Penang di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lebuh Pantai, Muzzamer Mohd Salleh berkata, dalam kejadian pada jam 3.10 petang, mangsa yang berusia lingkungan 40-an itu bertindak sedemikian untuk meminta pertolongan selepas tubuhnya disambar api.
Menurutnya, mangsa dikatakan berlari kira-kira 100 meter ke kedai berhampiran sebelum orang yang ternampak kejadian itu bantu memadamkan api ditubuhnya.
Katanya, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya yang juga penjaga bangunan namun rakannya itu berjaya melarikan diri.
"Kami terima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.15 petang. Setelah tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat kelas A berkeluasan 30×200 kaki persegi. Ia merupakan rumah kedai lama (warisan) dengan bahagian belakangnya dijadikan rumah pekerja.
"Kebakaran berlaku di bahagian bilik di tingkat bawah bangunan dan anggaran kemusnahan kebakaran adalah 20 peratus," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Katanya, kebakaran dapat dikawal pada jam 3.51 petang oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai dengan bantuan dari BBP Jalan Perak.
"Mangsa melecur sehingga 60 peratus di bahagian tubuhnya. Dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!