Barang seludup bernilai lebih RM9 juta dirampas
KLANG - Sebanyak 513,524 karton rokok seludup dan botol bedak bernilai lebih RM9 juta dirampas oleh Pasukan Polis Marin dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Taman Klang Jaya, Klang pada Khamis.
Komander Pasukan Polis Marin Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 10.45 pagi.
"Operasi dijalankan berdasarkan Unit Risikan Marin terhadap sebuah gudang mencurigakan di Taman Klang Jaya mendapati gudang tersebut bertutup tapi tidak berkunci," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, pemeriksaan di dalam gudang turut menemukan sejumlah besar bedak.
"Pemeriksaan di gudang menemukan kesan umpil pada tingkap bilik air dalam gudang tersebut dipercayai digunakan sindiket untuk melarikan diri.
"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!