Covid-19: Lagi mayat ditemukan di tepi jalan di Bangkok
BANGKOK - Seorang gelandangan berusia 80 tahun menjadi mangsa terbaru Covid-19 yang dijumpai mati di tepi jalan, berhampiran Victory Monument di Bangkok pada Sabtu.
Media tempatan melaporkan bahawa pemeriksaan awal menggunakan kit ujian pantas mendapati mangsa positif Covid-19 dan mayatnya dihantar ke Hospital Ramathibodi untuk bedah siasat.
Baru-baru ini, dilaporkan tiga mayat lelaki dijumpai terbaring di tepi jalan di Bangkok selama hampir 12 jam sebelum diambil oleh pihak berkuasa dan kumpulan amal.
Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha bimbang dengan kejadian itu dan mengarahkan semua agensi berkaitan mencari jalan memastikan pesakit dapat segera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Thailand mencatatkan 14,260 kes baharu Covid-19 dan 119 korban menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 481,967 jangkitan dan 3,930 kematian.
Kes baharu yang dilaporkan hari ini sedikit menurun berbanding 14,575 kes dan 114 kematian pada Jumaat.
Menurut kenyataan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) kes baharu itu termasuk 14,248 penularan tempatan, antaranya 3,879 melalui pengesanan kes aktif dan 655 banduan manakala 12 kes import.
Korban terbaru melibatkan 66 lelaki dan 53 wanita berusia antara 30 dan 94 tahun, termasuk 114 rakyat tempatan dan lima warga asing - Myanmar (dua), masing-masing seorang Bangladesh, Indonesia dan Jepun.
Bangkok kekal mendahului jumlah kes baharu tertinggi dengan 2,745 kes dan 61 kematian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!