Ketegangan China-Jepun jejas rantau Asia
Susunan MIR AZRI SHAHRUDIN
BARU-baru ini Parti Komunis China menggertak akan menggunakan bom nuklear ke atas Jepun sebagai tindak balas terhadap Tokyo yang sanggup mempertahankan Taiwan daripada serangan Beijing.
Gertakan itu dibuat melalui satu platform media sosial yang mendapat kelulusan penyiaran daripada kerajaan komunis China iaitu Xigua.
China sebelum ini berulang kali menuntut Taipei supaya tunduk di bawah penguasaan negara komunis tersebut.
Walaupun China dengan Taiwan sudah berpisah sejak lebih tujuh dekad lalu, Beijing mendakwa bahawa Taipei masih berada di bawah penguasaannya.
Taiwan yang kini didiami oleh hampir 24 juta penduduk dan terletak di selatan tanah besar China pula menjalin hubungan rapat dengan negara kuasa besar demokrasi dunia iaitu Amerika Syarikat (AS).
Hubungan rapat itu adalah sebagai satu cara untuk melindungi Taiwan daripada diancam melalui tindakan ketenteraan yang mungkin diambil oleh Beijing.
Awal bulan ini, Timbalan Perdana Menteri Jepun, Taro Aso berkata, Jepun perlu mempertahankan Taiwan bersama AS jika negara itu diserang.
Kenyataan itu sekali gus menimbulkan kemarahan China.
Bagaimanapun, gertakan yang dibuat menerusi media sosial Xigua dipadamkan selepas ia menerima dua juta tontonan.
Sungguh pun begitu, pengguna-pengguna media sosial sempat membuat salinan dan memuat naiknya ke YouTube dan Twitter, menurut Taiwan News.
Dalam video itu juga, China menyatakan akan menggunakan bom nuklear lebih dari sekali ke atas Jepun.
Menurut video itu, Parti Komunis China akan membebaskan Taiwan dan akan menggunakan bom nuklear sehingga Jepun mengisytiharkan kalah tanpa syarat buat kali kedua.
Sebelum ini dua buah atom pernah digugurkan ke atas bandar raya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun oleh tentera AS semasa Perang Dunia Kedua.
Pada 6 Ogos 1945, sebuah pesawat pengebom Amerika B-29 menggugurkan bom atom pertama di dunia ke atas Hiroshima menyebabkan kira-kira 80,000 orang terbunuh dan puluhan ribu lagi meninggal dunia akibat terkena radiasi bom tersebut.
Tiga hari kemudian, sebuah lagi pesawat pengebom AS, B-29 menggugurkan sebuah lagi bom yang sama menyebabkan kira-kira 40,000 orang meninggal dunia.
Berikutan itu, pada 15 Ogos 1945, Maharaja Hirohito mengumumkan menyerah kalah tanpa syarat dalam Perang Dunia Kedua.
Pengguguran itu dibuat selepas AS melakukan ujian terhadap bom atom tersebut pada 16 Julai 1945.
Ujian itu dilakukan selepas seorang profesor fizik di Universiti Califonia, J Robert Oppenheimer yang berketurunan Yahudi mengetuai Projek Manhattan bagi mencipta bom atom yang kini dikenali sebagai bom nuklear.
China mungkin berani membuat gertakan tersebut kerana Jepun tidak memiliki senjata nuklear.
Ia juga merupakan negara kelima di dunia yang menghasilkan senjata nuklear dan dilaporkan mempunyai antara 250 hingga 350 senjata nuklear.
Jumlah itu adalah jauh lebih kecil berbanding AS yang didakwa mempunyai kira-kira 5,800 senjata nuklear.
China juga dilaporkan sedang membina lebih 100 tempat penyimpanan peluru berpandu di bawah tanah yang akan turut menyimpan senjata nuklear di gurun di wilayah Gansu.
Penemuan itu disiarkan oleh akhbar Washington Post baru-baru ini berdasarkan kepada gambar-gambar satelit yang menunjukkan petanda bahawa ia kemungkinan berlaku disebabkan oleh kemampuan senjata nuklear China yang semakin berkembang.
Adakah China akan menyerang Jepun dengan senjata nuklear?
Gertakan Beijing akan melancarkan serangan nuklear itu dibuat hanya jika Jepun bertindak masuk campur dengan AS untuk melindungi Taiwan daripada serangan ketenteraan China.
Setakat ini, China masih belum lagi menyerang Taiwan bagi membolehkan ia tunduk kepada penguasaan Beijing.
Senjata nuklear itu boleh dilancarkan dengan pelbagai cara iaitu dengan menggunakan pesawat pengebom, peluru berpandu dan peluru berpandu balistik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!