Neraca komunikasi kita

No Image Caption
A
A
A

KOMUNIKASI menjadi tunjang kepada kejayaan mana-mana hubungan.

Interaksi ini boleh berlaku dalam rantaian peribadi atau organisasi termasuk pertubuhan politik dan kerajaan.

Kekuatan membina komunikasi yang ampuh dengan pihak terbabit akan membolehkan struktur dan hubungan sosial berjalan dengan lancar, baik serta licin.

Barangkali tidak akan timbul persoalan defisit kepercayaan andai kata komunikasi diterokai sepenuhnya untuk mendekati peranan kesemua kelompok sasar.

Hari ini, media sosial sudah menjadi medium induk untuk berkomunikasi. Alam maya menjadi tumpuan berlegarnya maklumat.

Kita menerima dan mengedar informasi mengikut keselesaan kita.

Ada isu yang palsu tetapi jika ia memberikan impak positif kepada kita, ia akan dijunjung kebenaran walaupun jelas pembohongannya.

Ada juga berita yang benar. Di manakah neraca komunikasi jika melabel, angkuh, berkata kesat dan membuli cuba diseimbangi dengan nilai jujur, benar dan rasional?

Artikel Berkaitan:

Asas kepada komunikasi adalah melalui beberapa agen yang bertanggungjawab.

Kita perlu berhati-hati dengan apa yang cuba disampaikan kerana ia juga cerminan kepada keperibadian kita.

Dalam mahu menjadi seorang yang kental dan lasak, ia bukan lesen untuk bersifat degil, biadab dan berpura-pura.

Teraniaya tidak bermakna kita juga memerangkap diri dengan pendekatan itu.

Masih adakah komunikasi alam realiti? Ada yang berpura-pura menjadi ‘mangsa’ dan tidak pernah berusaha ‘melengkapi’ kedudukan pihak yang lagi satu.

Malah, tidak pernah mahu menghargai sehingga tidak tahu menilai kebaikan seseorang walaupun ia adalah pasangan, musuh politik atau pesaing diri, ini boleh memakan diri.

Ini menunjukkan bahawa tidak ada rasa tanggungjawab, setia, percaya dan yakin ke atas komunikasinya.

Komunikasi juga bertujuan membetulkan apa yang tidak benar kerana ada masanya kita terdorong untuk melihat dari lensa sendiri dan bukan sepenuhnya.

Komunikasi penting untuk mendengar dan memperbaiki tafsiran dan pemahaman. Ia harus elak mencari keburukan orang lain, seolah-olah diri kita maksum dalam segala hal.

Sempurnakah kita bila menyerang yang lain tanpa menyedari kita lebih dahulu bersifat seperti itu.

Ini bukan tujuan media sosial ataupun apa sahaja bentuk perhubungan dalam kalangan manusia.

Masing-masing perlu berjiwa besar.

Damaikah dengan membolosi nilai kemanusiaan?

Sukarkah saling memaafkan? Komunikasi ada ketikanya punca yang tidak disangka.

Hari-hari kita bertemu dengan sesuatu yang baharu dan ia boleh digunakan untuk memperbaiki masa depan hubungan.

Pengalaman mengajar kita. Neraca komunikasi bersifat dua hala untuk tidak memberatkan hanya satu pandangan.

Berjiwa besar penting dalam komunikasi.

Jika Parlimen bersidang esok, hubungan yang baik boleh terjalin jika ada komunikasi positif dalam kalangan ahli Parlimen untuk meneliti, mendalami dan memberikan sokongan atau di sebaliknya ke atas urusan hal ehwal Parlimen.

Begitu juga dengan kebanyakan insiden mutakhir ini yang berpusatkan kepada unsur negatif sehingga menjadikan sesuatu hubungan renggang.

Komunikasi boleh membantu memperbaiki kesilapan tanpa terikat dengan yang lain.

Tawakal untuk mencari kebenaran dan bukan menyorok kebenaran untuk melepaskan diri daripada sesuatu hubungan.

Jangan kita rasa hebat dan betul sentiasa kerana di sebalik kemaafan adalah kepercayaan.

Adakalanya paling sukar adalah membetulkan diri kita, tetapi tidak perlu malu jika salah tetapi adalah salah jika tidak membetulkannya.

Tanpa usul periksa, banyak tuduhan dibuat semata-mata untuk meraih simpati kerana tahu kelemahan manusia adalah pada emosi.

Mendiamkan diri dan mengelak daripada memanjangkan sesuatu komunikasi yang boleh memendekkan hubungan akan menunjukkan bagaimana seorang yang cerdik tidak akan sesekali membenarkan dinilai melalui tohmahan tidak benar.

Sudah tiba masanya masing-masing perlu bersedia melakukan anjakan baharu dalam dunia hubungan, interaksi dan komunikasi jika merasakan platform komunikasi amat signifikan dalam berhadapan dengan krisis.

Sempurnakah kita bila menyerang yang lain tanpa menyedari kita lebih dahulu bersifat seperti itu.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!