Wanita diragut ketika hendak ke hospital
GOMBAK - Seorang wanita diragut di tempat letak kenderaan di sebuah flat di Selayang Makmur, Batu Caves di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, ketika kejadian mangsa bersama suaminya hendak menaiki kenderaan e-hailing untuk ke Hospital Selayang.
"Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa bersama suaminya didatangi seorang lelaki menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha NVX warna merah yang bertindak meragut rantai emas milik mangsa dan terus melarikan diri.
"Nilai rantai emas dianggarkan lebih kurang RM3,500," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, suspek dikesan membawa sebuah beg ‘delivery’ berwarna oren di bahagian tempat penumpang motosikal.
"Polis menjalankan usaha untuk mengesan suspek ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada Sabtu, tular satu video di Facebook memaparkan kejadian samun melibatkan mangsa seorang wanita yang diragut rantai lehernya oleh suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal di kawasan Taman Selayang Makmur, Batu Caves di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!