Selangor tidak kompromi isu rasuah

Suspek terlibat yang ditahan SPRM sebelum ini bagi membantu siasatan. Gambar kecil: Amirudin
Suspek terlibat yang ditahan SPRM sebelum ini bagi membantu siasatan. Gambar kecil: Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengulangi pendirian untuk tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kesalahan rasuah dan penyelewengan kuasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini susulan penahanan beberapa pegawai perkhidmatan awam di negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan kekal menjunjung prinsip ketelusan sepanjang proses siasatan itu dilaksanakan oleh SPRM atau pihak berkuasa.

"Seperti yang pernah saya umumkan sewaktu Majlis Mahabbah Ramadan pada 23 April lalu, kerajaan negeri serius dan tegas dalam melawan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

"Malah, kerajaan negeri juga sedang mengikuti dengan dekat beberapa jabatan terlibat dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada individu yang didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran ditahan SPRM berkaitan kes menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan.

Susulan itu, dua lagi individu masing-masing merupakan pegawai daerah dan juru ukur bahan turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, sepanjang siasatan berlangsung, tiada mana-mana pihak boleh dianggap bersalah sehingga mereka terbukti terlibat dengan jenayah itu.

Artikel Berkaitan:

"Perlu ditegaskan sejajar dengan prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang), tiada siapa dianggap bersalah sehingga terbukti bersalah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!