Ragini tak puas hati, Yusri sukar terima hakikat
PENGENDALI Kelantan FC, Marco Ragini masih belum puas hati dengan persembahan anak-anak buahnya itu semasa menentang skuad Projek FAM-MSN dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, walaupun The Red Warriors (TRW) meraih tiga mata.
Jurulatih dari Itali itu berkata, pemainnya tidak mempamerkan pergerakan sebagaimana yang dirancang, dan pasukan Projek FAM-MSN pula dilihat hanya dibarisi pemain muda yang berjaya menguasai permainan, malah pelawat itu berjaya menjaringkan gol pertama lebih awal pada minit ke-54.
Beliau berkata pemain pasukannya bermain dengan buruk, dan melakukan banyak kesilapan dari sengi gerakan individu, berpasukan, mahupun kesilapan taktik.
"Kita perlu bekerja lebih keras, perlu lebih banyak komunikasi dan saya perlu banyakkan tunjuk ajar kepada pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Sultan Muhammad IV Stadium, di sini pada Sabtu.
Skuad Projek FAM-MSN hampir berjaya membuat kejutan dalam perlawanan di Kota Bharu, namun akhirnya mereka tumpas kepada Kelantan FC 1-2.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah berkata, beliau sukar menerima hakikat pasukannya melepaskan dua gol pada minit-minit terakhir perlawanan selepas mendahului pasukan tuan rumah.
"Kita tidak harus kalah sebegini apabila kita mendahulu jaringan dan menguasai perlawanan, mungkin ia faktor kurang pengalaman daripada pemain saya.
"Separuh masa kedua kita cuba memberi tekanan sehingga menjaringkan gol, jika kami tidak membuat kesilapan pada minit akhir kami sudah tentu keluar sebagai pemenang dan kemenangan itu sangat penting kepada pemain muda kami bagi menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!