Yob tekad bangkit berdepan KL City FC
SELEPAS diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu, Perak FC berazam untuk bangkit apabila berdepan Kuala Lumpur City FC di Stadium Perak Selasa ini.
Pengendali Perak FC, Chong Yee Fatt berkata, beliau akan membuat beberapa penambahbaikan dalam usaha memastikan kesemua pemainnya bersedia untuk berdepan skuad The City Boys.
“Saya akui tekanan itu ada. Dalam tempoh yang singkat ini, kita harap kita dapat kembali ke landasan kemenangan. Selepas ini kita akan berdepan Kuala Lumpur.
“Berdasarkan kepada keputusan perlawanan dengan TFC, saya rasa ada banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan sebagai persediaan menghadapi Kuala Lumpur nanti.
“Saya juga perlu membangkitkan semula semangat pemain yang pastinya kecewa setelah mengalami kekalahan besar ketika berdepan TFC,” katanya sejurus tamat perlawanan pada Sabtu.
Dalam aksi tersebut, TFC memperoleh gol menerusi pemain muda, Faisal Halim pada minit ke-19, David da Silva (23, penalti), Charlie Machell (42, gol sendiri), Mohamad Hakimi Abdullah (71) dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (90+5, penalti).
“Memang kita kecewa kerana tewas dengan jumlah jaringan yang besar seperti ini. Tetapi, saya dapati, kebanyakan pemain juga tidak beraksi dengan baik selain tidak mempamerkan aksi sebagaimana yang diharapkan.
“Mungkin sebab ada pemain yang tiba agak lewat (untuk berlatih) sehingga gagal membentuk persefahaman yang jitu dalam kalangan mereka,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!