Abot, Rambai berjaya 'pujuk' dua gajah liar
TANAH MERAH - Dua ekor gajah liar yang ditangkap di Kampung Kuala Tiga, di sini pada Ahad berjaya dipindahkan dengan bantuan Abot dan Rambai.
Tugas cemerlang Abot dan Rambai itu memudahkan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memindahkan haiwan tersebut ke kawasan selamat.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, gandingan Abot dan Rambai itu hanya mengambil kurang satu jam 'memujuk' kedua-dua gajah liar tersebut keluar dari hutan.
"Dua ekor gajah betina yang berusia 5 hingga 15 tahun masing-masing seberat satu hingga dua tan ini akan dibawa ke Taman Negara Terengganu.
"Pemindahan hari ini mengambil masa kira-kira lapan jam," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, gajah berkenaan merupakan kumpulan gajah liar dari Hutan Simpan Kampung Air Kerilla yang memasuki kawasan kampung untuk mencari makanan.
Beliau berkata, musim buah-buahan ketika ini menjadi daya penarik kepada haiwan liar tersebut keluar dari habitat asal.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata, kerja-kerja pemindahan gajah kali ini berdepan cabaran disebabkan oleh faktor kawasan berbukit.
Katanya, selain itu laluan yang licin sepanjang 1.5 kilometer juga antara cabaran terpaksa ditempuh mereka untuk memindahkan gajah pada kali ini.
"Seramai 36 anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Terengganu serta Perhilitan Kelantan terlibat dalam operasi berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!