Isu doktor kontrak sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu: Mohd Mazri

Hantaran Mohd Mazri menerusi Facebook miliknya pada Ahad.
Hantaran Mohd Mazri menerusi Facebook miliknya pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu berkaitan doktor kontrak bukan perkara baharu yang wujud ketika zaman pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, isu doktor kontrak timbul disebabkan kegagalan perancangan kepimpinan negara di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat.

Beliau berkata, kerajaan ketika itu terlalu obses terhadap nisbah doktor mengikut populasi penduduk menyebabkan wujudnya banyak fakulti perubatan baharu sehingga melebihi nisbah negara maju.

Menurutnya, akibat peningkatan jumlah graduan perubatan ketika perjawatan kekal doktor siswazah di Kementerian Kesihatan masih terhad, sistem penjawatan kontrak diperkenalkan pada Disember 2016 di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ketika ia diperkenalkan, tiada mogok dilancarkan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik atau doktor-doktor yang menandatangani perjanjian penerimaan jawatan kontrak tersebut.

“Namun ada beberapa penulisan daripada orang perseorangan yang menjangkakan musibah pasti akan berlaku disebabkan kesilapan perancangan dari sudut penghasilan doktor dan juga perjawatan kontrak tersebut.

“Perjawatan doktor kontrak ini secara keseluruhannya adalah lima tahun dan akan berakhir pada Disember 2021. Sepanjang lima tahun tersebut, tiada usaha dilakukan sama ada kerajaan BN atau PH,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Mohd Mazri berkata, Pas telah menghantar memorandum ringkas kepada kabinet pada 28 Jun lalu mengenai cara mengatasi masalah tersebut untuk jangka pendek dan panjang.

Artikel Berkaitan:

"Ia tidak boleh dilakukan berdasarkan sentimen atau emosi. Ia perlu dilakukan secara menyeluruh kerana beban pekerjaan akan meningkat kepada lebih RM2 bilion setahun dengan jangkaan kenaikan sebanyak RM250 juta setahun membabitkan pengambilan 5,000 graduan perubatan pada setiap tahun.

“Namun Pas mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan komitmen mengatasi masalah doktor kontrak menerusi reformasi menyeluruh perkhidmatan kesihatan negara.

“Pas merasakan tiada lagi keperluan untuk gabungan doktor kontrak meneruskan niat hartal. Ini adalah masa untuk kita bersama dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin kritikal,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!