Tanggungjawab berat dipikul Duta Malaysia di Timur Tengah
SHAH ALAM - Tanggungjawab dan amanah dipikul oleh Duta Besar Malaysia di negara Timur Tengah amat mencabar kerana bertugas di negara yang menjadi sasaran pertembungan kuasa besar dunia.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selain kedudukan strategik dalam hubungan antarabangsa, negara Timur Tengah merupakan titik pertemuan tiga benua besar dunia dan mempunyai sumber tenaga rebutan pada masa kini.
“Saya ucapkan tahniah kepada Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail dan Shaiful Anuar Mohammad (Oman) serta Azri Mat Yacob (Lubnan) atas pelantikan masing-masing yang sangat penting kepada negara kita dari sudut hubungan antarabangsa.
“Apa yang penting saya sampaikan kepada mereka agar pertingkatkan kerjasama dalam kepentingan bersama dari sudut agama, pendidikan dan ekonomi, ke arah mencapai kedudukan negara umat Islam yang maju dan kuat dalam segala lapangan.
“Pengalaman mereka dalam lapangan diplomatik akan membantu kejayaan yang cemerlang untuk Malaysia sangat dihormati oleh rakyat negara Timur Tengah kerana mempunyai hubungan diplomatik baik,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.
Beliau turut mendoakan ketiga-tiga Duta Besar Malaysia ke Timur Tengah itu dapat menjalankan tugas dengan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!