Berkongsi rezeki dituntut Islam
PADA tahun ini kerajaan telah memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi iaitu Pemerkasa dan Pemulih.
Salah satu intipati dalam Pemulih ada menyatakan kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen, termasuk pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.
Inisiatif ini adalah untuk membantu golongan yang terjejas dari segi keperluan asas demi kelangsungan kehidupan. Ini kerana memenuhi keperluan asas merupakan aspek penting dalam kehidupan yang merupakan tanggungjawab setiap individu yang berkeupayaan untuk memenuhinya.
Seandainya ada yang tidak berkeupayaan untuk memenuhinya maka ia menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menyediakannya.
Ini bertepatan dengan senario kini di mana ada golongan berada dalam kesusahan untuk memenuhi keperluan asas akibat kekangan kewangan kesan daripada pandemik Covid-19 seperti kehilangan pekerjaan, perniagaan tidak dapat dijalankan, pemotongan gaji dan sebagainya.
Situasi ini mengakibatkan mereka hilang punca pendapatan dalam sekelip mata. Makanya, mulalah mereka hilang kawalan diri sehinggakan cara mereka berfikir juga kurang rasional. Antara kesan krisis pandemik yang sangat ditakuti adalah peningkatan kejadian bunuh diri akibat hilang kawalan kendiri.
Kerjasama
Sebagai rakyat yang berdepan dengan situasi yang amat menyedihkan ini, kita perlu ada kesedaran kendiri. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pihak pemerintah semata-mata untuk memberi bantuan. Tidak perlu untuk menuding jari kepada orang lain sebaliknya kita perlu bekerjasama dalam membantu kerajaan menangani permasalahan sosioekonomi masyarakat. Jika kita tidak mampu untuk memberi bantuan secara wang ringgit maka hulurkanlah bantuan dalam bentuk barangan, penyebaran maklumat, tenaga dan sebagainya.
Kita boleh berkongsi rezeki melalui food bank yang telah dilaksanakan individu prihatin. Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), program food bank merupakan satu inisiatif peduli rakyat membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan makanan yang mana secara tidak langsung dapat meringankan kos sara hidup mereka.
Di samping itu, kempen kibar bendera putih juga merupakan satu pendekatan yang praktikal. Matlamat kempen ini jelas iaitu bagi membantu individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 namun malu menyatakannya secara terbuka. Selain itu, ia juga memupuk sifat peduli masyarakat agar peka dengan keadaan sekeliling.
Sifat berkongsi rezeki yang diamalkan oleh masyarakat di zaman mencabar ini dapat memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada penerima tetapi juga kepada pemberi bantuan. Manfaat yang dicari bukan sahaja untuk kehidupan di dunia semata-mata malah di akhirat juga.
Firman ALLAH SWT bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan ALLAH jugalah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan).” Surah Hud: ayat 6.
Sehubungan itu, setiap daripada kita perlu yakin akan semua rezeki telah ditetapkan ALLAH SWT. Cumanya kita sebagai manusia harus sentiasa berusaha untuk mencari dan menambah rezeki dan bukan hanya menunggu rezeki datang bergolek.
Pendekatan berkongsi rezeki juga amat dituntut dalam Islam di mana ada dijelaskan dalam al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud: “Siapa yang memberi pinjaman kerana ALLAH, pinjaman yang baik (infaq dan sedekah), maka ALLAH akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.”
Ini menjelaskan bahawa setiap harta atau rezeki yang kita peroleh dan miliki pastinya ada bahagian untuk orang lain yang lebih memerlukan. Oleh itu, percayalah dengan berkongsi rezeki bukan akan memiskinkan kita malah ia akan membuatkan rezeki kita semakin bertambah.
Marilah kita sama-sama berganding bahu dalam memupuk sifat ambil peduli sesama kita. Buanglah sifat pentingkan diri sendiri yang selama ini menebal dalam diri kita. Inilah masanya untuk kita menunjukkan sedikit sifat keperihatinan sesama kita agar keseimbangan sosiekonomi terus terpelihara.
* Dr Maryam Jameelah Hashim ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Pengurusan UiTM Puncak Alam
* Dr Mohd Rahim Khamis ialah Ketua Unit Penyelidikan dan Pengurusan Maklumat Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) UiTM Shah Alam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!