Dewan Rakyat 'panas' ahli Parlimen bertikam lidah
KUALA LUMPUR: Tidak sampai satu jam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pagi ini, keadaan daripada tenang ketika Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berucap bertukar menjadi 'panas'.
Bahkan, beberapa perkataan yang agak panas seperti “letak jawatan” dan “derhaka” turut dikeluarkan sepanjang sejam mesyuarat itu berlangsung.
Beberapa Ahli Parlimen juga dilihat saling bertikam lidah sesama mereka selama beberapa minit sebelum ditenangkan Speaker selepas keadaan dilihat semakin 'panas'.
Sebaik selesai ucapan Speaker, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan - Semporna) merupakan ahli Parlimen pertama bangun dan meminta penjelasan.
“Saya minta penjelasan. Pertama sama ada persidangan ini selaras dengan titah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) dan adakah ini, persidangan ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia? Adakah ini selaras dengan peraturan?
“Kalau bercanggah, dengan ini kita dah melanggar persidangan yang kita bincangkan, contohnya Ordinan Darurat,” katanya.
Keadaan menjadi semakin 'panas' selepas itu apabila Ramkarpal Singh Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) bangun mencelah dan mengeluarkan perkataan kontroversi.
“Anda patut letak jawatan daripada Speaker Dewan Rakyat. Saya nak tahu tuan Speaker, kenapa Proklamasi Darurat dan Ordinan di bawahnya tidak dibawa ke dalam masalah ini?
“Adakah tuan menerima arahan daripada kerajaan untuk tidak membawa perkara tersebut ke dewan? Kalau itu agendanya, jadi letaklah jawatan,” katanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang - Langkawi) turut bangun selepas itu yang menegaskan Ahli Parlimen tidak memerlukan penerangan, sebaliknya, apa yang dituntut ialah perbahasan untuk membincangkan isu semasa.
“Kerajaan mengambil masa yang amat panjang dan cuba untuk memperdayakan dunia bahawa mengadakan majlis taklimat di dewan Parlimen adalah sidang Parlimen.
“Ini adalah satu penipuan lebih-lebih lagi apabila tekanan wabak COVID-19 yang menjadi alasan untuk isytihar darurat tidak dibawa dalam dewan ini untuk dibincang dan dibahas dengan cara untuk mengatasinya,” ujarnya. -Sumber Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!