Lelaki ambil upah ratakan hutan simpan kekal ditahan JPNK

Lelaki berkenaan meratakan tanah di Hutan Simpan Kekal Bukit Payung, di Kubang Pasu menggunakan jentera jenis Excavotar Hitachi pada Ahad.
Lelaki berkenaan meratakan tanah di Hutan Simpan Kekal Bukit Payung, di Kubang Pasu menggunakan jentera jenis Excavotar Hitachi pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki yang mengambil upah meratakan Hutan Simpan Kekal Bukit Payung di Kubang Pasu secara haram ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pada Ahad.

Pengarah JPNK, Muhamad Abdullah berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi selepas menerima aduan awam.

Katanya, ketika serbuan lelaki tempatan berusia 42 tahun itu sedang mengendali jentera untuk meratakan tanah bagi menanam pokok getah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 1.2 hektar tanah sudah diratakan dipercayai dilakukan sejak empat hari lalu.

"Kerugian dianggarkan mencecah RM50,000 akibat kegiatan meratakan tanah dan memusnahkan pokok hutan secara haram," katanya dalam suatu kenyataan di sini pada Isnin.

Jentera jenis Excavotar Hitachi yang digunkaan untuk kerja-kerja merata dan membersihkan tanah turut disita untuk membantu siasatan
Jentera jenis Excavotar Hitachi yang digunkaan untuk kerja-kerja merata dan membersihkan tanah turut disita untuk membantu siasatan

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lelaki terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut oleh JPNK.

"Sebuah jentera jenis Excavotar Hitachi yang digunakan untuk kerja-kerja merata dan membersihkan tanah turut disita untuk membantu siasatan.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu di bawah Seksyen 81(1)(b) kerana menebang, memotong, mengelang, menanda, menutuh atau menoreh mana-mana pokok atau merosakkan dengan api.

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muhamad menambah, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

"Dua seksyen berkenaan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"JPNK memandang serius aktiviti pencerobohan dan penerokaan Hutan Simpanan Kekal dan akan melaksanakan pendakwaan terhadap individu terlibat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!